Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada pelakon Tamil terkenal, Joseph Vijah atas perlantikannya sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu.
Ucapan kepada Vijay yang disifatkan sebagai sahabatnya itu disampaikan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook.
Menurut Anwar, peminat dahulu hanya boleh menyaksikan Vijay menewaskan ahli politik korup dan penjahat dalam tempoh tiga jam menerusi lakonannya dalam filem.
Namun kini Vijay diamanahkan dengan tanggungjawab yang jauh lebih berat daripada mana-mana watak pernah dibawanya di layar perak sebelum ini apabila diberi kepercayaan oleh rakyat Tamil Nadu.
“Rakyat Tamil Nadu kini telah mengamanahkan Vijay dengan tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada mana-mana peranan yang dilakukan di layar perak.
“Oru Viral Puratchi iaitu ‘revolusi satu jari’ kini berada di ambang mencipta sejarah. Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi hubungan sejarah, budaya dan hubungan antara rakyat yang mendalam merentasi generasi.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ketua Menteri Vijay pada tahun-tahun akan datang,” kata Anwar dalam perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu.
Terdahulu, Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada 10 Mei lalu selepas partinya iaitu Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) berjaya memperoleh sokongan majoriti.
Kejayaan itu menamatkan drama politik tempatan susulan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung selepas keputusan pilihan raya negeri berkenaan diumumkan 4 Mei lalu.
TVK muncul sebagai parti terbesar dalam pilihan raya tersebut apabila berjaya memenangi sebanyak 108 kerusi namun masih gagal mencapai majoriti mudah 118 kerusi.
Pelakon yang lebih dikenali sebagai ‘Thalapathi Vijay’ itu bagaimanapun berjaya membentuk kerajaan negeri selepas TVK memperoleh sokongan penting melalui beberapa pakatan strategik.