“Dari lahir hingga akhir usia” – PM sifatkan jururawat antara tonggak penting sistem kesihatan negara

Oleh MAISARAH AISYA

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh jururawat sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia, sambil menyifatkan golongan itu sebagai insan yang sentiasa hadir dalam setiap fasa kehidupan rakyat.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau berkata jururawat antara individu terawal yang menyambut kelahiran seseorang ke dunia dan terus setia berkhidmat menjaga pesakit sehingga ke penghujung usia.

“Sejak lahir ke dunia, antara yang terawal menyambut dan menjaga kita adalah para jururawat.

“Mereka ada tatkala ibu menahan sakit melahirkan kita, ada mendengar tangisan pertama kita, menjaga ketika kita diuji sakit, dan terus setia berkhidmat menjaga hingga ke penghujung usia kita,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Menurut beliau, hampir setiap individu pernah merasai sendiri sentuhan ihsan seorang jururawat sama ada ketika menenangkan pesakit, memujuk kanak-kanak yang ketakutan mahupun memberi kekuatan kepada keluarga pesakit.

Anwar turut menegaskan pengalaman dan ketelitian jururawat menjadi antara tonggak penting dalam membantu doktor memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.

Beliau menyifatkan profesion jururawat sebagai kerjaya mulia yang menuntut pengorbanan besar, kekuatan jiwa serta ketulusan hati luar biasa demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Besarnya jasa jururawat sering tidak terungkap dengan kata-kata, namun pengorbanan mereka amat besar nilainya buat rakyat dan negara.

“Terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan kalian. Selamat Hari Jururawat Sedunia,” ujarnya lagi.

Baca juga: Perli Anwar Ibrahim sebab selalu tukar ‘kerusi’, sekali netizen puji berani sahut cabaran