Kubur Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Pekan, Pahang tidak putus-putus diziarahi oleh orang ramai.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang individu yang berada di dalam kawasan pusara tersebut menerusi satu hantaran di akaun media sosial TikTok miliknya, baru-baru ini.
Difahamkan, individu berkenaan duduk di kawasan pusara itu sekitar empat jam dan mendapati kubur milik Allahyarham Farah Kartini tidak berhenti menerima kunjungan.
Selain berkongsi rasa kagum, individu itu tertanya-tanya apakah amalan yang arwah lakukan ketika masih hidup hingga kuburnya tidak sunyi dari kunjungan orang ramai.
“Aku duduk dekat empat jam di kawasan ini. Tak putus orang ziarah. Apalah amalan arwah Farah Kartini. Serius aku dapat rasa yang dia ini lain dari lain. Semoga Allah merahmati roh dan jasadnya,” katanya dalam satu hantaran di TikTok.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok memberikan reaksi positif dan ada di antaranya turut berkongsikan kebaikan arwah ketika masih hidup.
Ramai juga individu berkongsi rasa terharu berikutan kubur arwah Farah Kartini tetap menerima kunjungan ramai walau tidak disemadikan di negeri kelahirannya sendiri.
“Arwah adalah orang kampung saya. Arwah dan ibunya memang selalu bersedekah tanpa mengira agama dan kaum. Semoga roh arwah dicucuri rahmat,” kata seorang pengguna.
“Ada kawan belajar sekali dengan arwah beritahu, dia tak pernah mengabaikan solat walaupun tak sempat. Sentiasa ingatkan kawan-kawan yang lain, jangan tinggalkan solat. Mungkin inilah ganjarannya,” ujar pengguna lain.
“Walaupun kuburnya bukanlah di tempat kelahiran, tetapi ramai yang datang ziarah. Hebat arwah ini, satu Malaysia mendoakan dia tanpa henti,” kongsi pengguna lain.
Terdahulu, Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak.
Jasad bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu kemudian ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, 15 Julai lalu.
Susulan itu, polis menangkap seorang suspek yang juga anggota polis berpangkat lans koperal pada hari yang sama untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Allahyarham Nur Farah selamat dikebumikan di Pekan, Pahang selepas jenazahnya dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada Khamis lalu.