Kemunculan pelakon, Azar Azmi dalam satu sesi siaran langsung bersama usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri menjadi topik perbincangan hangat di platform media sosial baru-baru ini.
Mana tidaknya, Azar yang sudah tidak memiliki punca pendapatan itu berjaya mengumpul sekitar RM40,000 hasil jualan produk keluaran Aliff menerusi sesi siaran langsung di platform TikTok tersebut.
Namun perkara lebih mencuri tumpuan ramai adalah detik ketika Azar menerima panggilan daripada rakan artis, Janna Nick yang juga merupakan sahabat baiknya sewaktu siaran langsung tersebut sedang berjalan.
Pemilik nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi itu dilihat sudah tidak dapat menahan sebaknya sebelum menitiskan air mata sebaik sahaja mendengar suara Janna selepas sekian lama tidak bersua muka.
“Aku tak nak susahkan orang,” kata Azar yang mengaku tidak mahu melibatkan orang lain dalam masalahnya sewaktu Janna bertanya punca pelakon terbabit tidak menghubunginya ketika isu penipuan berlaku.
Detik cukup mengharukan dalam siaran langsung itu sempat dirakam oleh salah seorang penonton sebelum dimuat naik semula di platform Threads sekali gus mengundang perbincangan hangat di media sosial.
Janna dalam rakaman itu turut meluahkan kerisauan dengan kemunculan Azar dalam siaran langsung Aliff kerana berpandangan bahawa waktunya tidak sesuai dengan apa dilalui sahabat baiknya sebelum ini.
“Saya tak tahu apa kejadian sebenarnya. Azar juga tidak hubungi saya selepas isu terjadi. Saya tak mahu berikan tekanan kepada Azar. Saya rasa ini bukanlah masa yang sesuai untuk Azar muncul dalam ‘live’. Datuk patut beri ruang kepada Azar,” katanya dalam rakaman itu.
Memahami kerisauan rakannya, Azar kemudian tampil memberi penjelasan bahawa kemunculannya memang tidak dirancang sebaliknya berlaku secara kebetulan ketika dirinya mahu mencari peluang pekerjaan.
Sesi jualan secara langsung yang diadakan sekitar dua jam itu diaturkan oleh Aliff sebagai usaha meringankan beban Azar dengan membahagikan sedikit hasil jualan untuk menampung kehidupannya.
“Tak rancang nak buat siaran langsung, sebab tiada niat lain pun. Aku tiada punca pendapatan. Tak sangka pula rezeki datang. Semua orang tahu Datuk ‘live’ mencari rezeki. Tetapi tak sangka dia nak kongsi rezeki dengan aku.” Jelas Azar kepada Janna.
Terdahulu, pelakon berusia 37 tahun terbabit datang ke kediaman usahawan itu dengan tujuan untuk meminta pekerjaan sebagai tukang membungkus barang yang dikirim kepada pembeli produk dengan gaji RM1,700.
Aliff bagaimanapun menawarkan pelakon itu untuk tampil dalam sesi jualan secara langsung di akaun TikTok miliknya sebelum menerima habuan wang tunai berjumlah RM40,000 hasil jualan sambil beramal.
Baca juga: Kumpul sejak umur belasan tahun, Aliff Syukri dedah miliki lebih 200 aset, hartanah