Sering memuat naik video yang menghiburkan, penyanyi, Adira Suhaimi kembali menyita perhatian orang ramai dengan perkongsiannya di media sosial.
Tampil bersama madu, Datin Seri Sharifah Norshafila atau Datin Red, ramai yang kagum melihat keakraban antara dua wanita itu.
Berkongsi kasih seorang insan bernama suami, Adira dan Datin Red berjaya membuktikan bahawa poligami tidak menyekat kebahagiaan.
Bersama kapsyen ‘maduku bukan madumu’, Adira dan Datin Red terlihat bersahaja ketika melakonkan sketsa berunsur lawak.
Berjaya mencuit hati, mereka berdua terlihat berjalan beriringan sambil mengunyah gula-gula getah bersama jelingan tajam.
Ditonton oleh hampir tiga juta pengguna TikTok, tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata peminat memuji sifat terbuka Datin Red.
Tidak kurang juga, hampir semua penonton dilihat mendoakan agar rumah tangga kedua wanita itu dilimpahi kebahagiaan.
“Nah, sampai madu di bawa untuk dibuat content. Sporting betul ya Datin Red ini,” kongsi seorang pengguna yang terhibur dengan perkongsian Adira.
“Semoga kamu berdua selalu dirahmati ya. Sedap mata tengok madu-madu ini, sentiasa baik-baik sahaja.” Komen pengguna lain.
Baca juga: Takut pengsan tengok bil? Ikut tips penggunaan aircond ini untuk jimat elektrik