“Baju dapat, duit pun lepas!” – helah ‘return sampah’ pelanggan ini buat peniaga rugi beribu

Oleh MAISARAH AISYA

Pengasas jenama HijabistaHub, Wanie Elena meluahkan rasa berang apabila mendakwa menjadi mangsa penipuan melibatkan pembelian baju raya secara dalam talian yang berakhir dengan kerugian mencecah ribuan ringgit.

Menerusi beberapa hantaran di Threads, Wanie mendakwa seorang pelanggan telah melakukan taktik licik dengan membuat pesanan berulang kali.

Bagaiamanapun pelanggan tersebut akan memulangkan semula barangan namun bukan baju yang dibeli, sebaliknya sampah.

Menurutnya, pelanggan tersebut dipercayai menggunakan akaun palsu dan telah melakukan sekurang-kurangnya lapan kali transaksi melibatkan baju kurung dan baju Melayu.

“Ya awak guna akaun palsu tapi kami tak bodoh ya. Sekali ‘order’ set baju kurung, baju melayu sampai ‘total’ beribu.

“Amboi sakan dia beraya pakai baju haram,” tulisnya di Threads.

Wanie urut berkongsi bukti termasuk rakaman video yang menunjukkan individu berkenaan memakai pakaian yang didakwa sebahagian daripada item yang telah ‘dipulangkan’.

“Saya bagi siap sekali dengan video yang kurang filter sikit, baju dia pakai dalam video ini ada dalam ‘order’ list tu.

“Mana tak baran eh, dia beli macam-macam item lepastu ‘request for return and refund’. Dia curi baju tu dan pulangkan sampah kepada kami, lepas tu dia dapatlah duit dia balik.

“Hari ini kau terkenal satu Malaysia dik,” tambahnya.

Dalam hantaran berasingan, Wanie memaklumkan pelanggan tersebut ada cuba menghubunginya untuk membayar semula semua baju diambilnya namun tidak diendahkan.

“Maaf duit awak dah tak laku, masa buat tak fikir malu dan saya percaya dia dah biasa buat pada penjual lain juga.

“Nampak gaya dah memang biasa sangat buat kerja haram sebab tu sanggup ada akaun palsu semata nak ‘scam’,” tulisnya.

Baca juga: Pakai sahaja terus ‘sold out’, lelaki ini dedah apa yang berlaku setiap kali Siti Nurhaliza jadi duta