Bantuan khas Bernas RM50 juta diagih pada Mac

Oleh MALAYSIADATELINE

Kerajaan akan menerima sumbangan RM50 juta daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akhir bulan ini yang akan diagihkan kepada pesawah seluruh negara mulai awal Mac ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata setiap pesawah bakal menerima RM250, namun bantuan khas itu tidak melibatkan pesawah di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang telah menerimanya secara berperingkat sejak tahun lepas.

“Seramai 219,402 pesawah di lain-lain negeri akan menerima bantuan khas Bernas yang berjumlah RM50 juta pada tahun ini secara berperingkat mulai awal Mac,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus bersama peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Pengkalan Kundor di sini hari ini.

Awal Disember lepas, Bernas menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin seluruh negara dan RM50 juta lagi disalurkan tahun ini. 

Mengulas mengenai situasi bekalan telur, Mohamad berkata ketika ini ia sudah stabil dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan sentiasa memantau dan menghantar bekalan ke kawasan yang menghadapi kekurangan bahan makanan itu, sekiranya ada.

Bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan pengeluaran yang dihadapi syarikat terbabit, Mohamad berkata kerajaan telah mengambil inisiatif tertentu untuk membantu mereka termasuk memudahkan proses mendapatkan pekerja termasuk pekerja asing.

Baca Artikel Penuh