Bapa tercengang anak 6 tahun ‘rembat’ RM1,500, mahu sedekah pada rakan susah

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang bapa tercengang apabila mendapati wang tunai berjumlah RM1,500 miliknya yang hilang rupanya di’rembat’ oleh anaknya sendiri.

Kanak-kanak yang baru berusia enam tahun itu telah bertindak me’rembat’ wang berkenaan sebelum memasukkannya ke dalam beg sekolah.

Berhasrat untuk membantu orang susah, anak kecil itu mengagihkan beberapa keping wang bernot RM50 itu kepada rakan sekelasnya.

Mengejutkan, rakan sekelas kepada kanak-kanak tersebut difahamkan menerima tunai wang berjumlah RM100-RM200 setiap seorang.

Walaupun tidak senang dengan tindakan anaknya, lelaki itu berjaya untuk kekal tenang sambil cuba untuk menasihati anaknya.

Hal ini kerana, meskipun berniat baik, namun perbuatan mengambil wang orang lain tanpa kebenaran adalah salah dan berdosa di sisi agama.

“Patutlah abah cari duit ni tak ada, berapa orang dah bagi. Bagi duit ni sebab dia susah? Selamat Allah nak tunjuk hari ini. Punya lama abah cari duit ni.

“Susah abah nak dapatkan duit banyak ni, abah pun nak bayar banyak benda lagi. Jangan buat macam ni lagi,” nasihat lelaki itu.

Bersama kapsyen ‘bertuah punya anak’, bapa itu sempat merakam penemuannya dan berkongsi video tersebut melalui satu hantaran di laman TikTok.

Menerusi video berkenaan, dapat dilihat baki wang lelaki terbabit yang tersisa sebanyak RM700 masih berada di dalam beg sekolah anaknya.

Tular di media sosial, perasaan curiga sang bapa mula timbul apabila anak gadis itu mula membuka cerita mengenai rakan sekelasnya.

Kongsi kanak-kanak itu, dia senang membantu mereka yang memerlukan terutamanya ketika membayar makanan buat rakannya.

Baca juga: Ibu dua anak maut lepas pembedahan besarkan payudara, rupanya ‘pakar kecantikkan’ tak ada tauliah