Seorang bapa dilaporkan terpaksa menaiki bas sejauh 200 kilometer sambil membawa mayat anaknya yang baru berusia lima bulan di dalam beg kerana tidak mampu membayar perkhidmatan ambulans sebanyak RM439.50.
Kejadian tersebut dilapor berlaku di negeri Bengal Barat, India minggu lalu. Menurut portal berita Independent, Ashim Debsharma menaiki bas selepas pemandu ambulans meminta bayaran 8,000 rupee (RM439.50) untuk membawa dia dan mayat anaknya pulang dari Siliguri ke Kaliaganj
.“Anak lelaki saya berusia lima bulan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital dan Kolej Perubatan Bengal Utara (NBMCH) di Siliguri selama enam hari. Saya membelanjakan 16,000 rupee (RM879) untuk rawatan tersebut,” katanya seperti dilapor laman berita Agensi.
Menurut Ashim, pemandu ambulans meminta tambang 8,000 rupee untuk membawanya pulang ke rumah.
Oleh kerana wangnya tidak cukup, dia memasukkan mayat anaknya ke dalam beg dan menaiki bas untuk pulang ke Kaliaganj.
Lelaki tersebut berkata, dia menghubungi perkhidmatan ambulans di nombor 102, namun diberitahu bahawa kemudahan percuma itu hanya untuk pesakit dan bukan penghantaran mayat, lapor portal berita NDTV.
Ashim menaiki bas tanpa meminta bantuan daripada penumpang atau kakitangan kenderaan itu kerana bimbang jika mereka menemui mayat anaknya, dia akan diminta turun daripada bas tersebut.
Pihak berkuasa hospital bagaimanapun berkata, dia tidak menghubungi pihak pengurusan untuk mendapatkan ambulans.
“Pihak NBMCH tidak mempunyai kenderaan jenazah sendiri tetapi jika keluarga kurang berkemampuan memintanya, kami akan mengaturkannya melalui jawatankuasa kebajikan pesakit,” kata Penguasa hospital itu, Dr. Sanjay Mallik seperti dipetik Agensi.