Baru tahu ada cara elak dipaksa ‘overtime’, ini langkah pertama yang perlu anda lakukan

Oleh WAN SITI AMINAH

Overtime atau bekerja lebih masa merupakan salah satu ‘budaya’ yang telah lama diamalkan termasuk di Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan.

Meskipun mendatangkan keuntungan, namun wujud pula syarikat yang mengambil kesempatan atas amalan ini dan memaksa kakitangan bekerja hingga lewat malam.

Lebih memburukkan keadaan, sesetengah perusahaan juga tergamak mengerahkan tenaga pekerja mereka tanpa memberikan sebarang bentuk bayaran upah ‘overtime’.

Peka dengan keresahan orang ramai, seorang lelaki tampil berkongsi ilmu dimilikinya untuk pencari kerja bagi mengenal pasti ciri majikan toksik di peringkat temuduga.

Hal ini kerana, pencari kerja dapat mengelakkan diri mereka daripada terjebak dalam amalan ‘overtime’ secara paksaaan jika ciri-ciri ini dapat dikesan dengan lebih awal.

Lelaki yang juga pempengaruh media sosial dikenali ramai sebagai @chairman_GLC itu berkata, orang ramai perlulah berhati-hati sebelum menerima tawaran pekerjaan.

Jelasnya, pencari kerja boleh mengenal pasti sisi negatif majikan daripada ‘tuntutan’ oleh pihak syarikat yang mereka telah nyatakan ketika di peringkat sesi temu duga.

Sebagai contohnya, penemu duga atau majikan akan menyatakan bahawa mereka hanya akan menerima pekerja yang sanggup berkorban untuk bekerja lebih masa.

Permintaan itu secara tidak sengaja memberikan isyarat bahawa syarikat berkenaan kemungkinan kurang menghargai keseimbangan di dalam pekerjaan dan kehidupan.

“Harap adik-adik yang baru sahaja mahu mencari pekerjaan, bacalah dahulu perkongsian ini sebelum pergi temu duga. Kalau ada yang nak tambah, silakan (komen).

“Mengenai overtime wajib. Kalau penemuduga kata anda dijangka bekerja lebih masa, tandanya syarikat itu tidak menghargai nilai ‘work-life balance’,” katanya.

Antara ciri lain adalah bakal majikan yang sering menukar tarikh temuduga, gagal menjawab soalan dengan tepat, tanya soalan tidak senonoh atau memburukkan pekerja lain.

Baca juga: Netizen Indonesia teruja dapat minum Milo Malaysia, terkejut rasa lebih pekat dan segar