Satu rakaman memaparkan sebuah ‘bas sekolah’ yang dipandu di sekitar kawasan Sri Hartamas, Kuala Lumpur telah berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.
Mana tidaknya, bas sekolah berwarna kuning keorenan itu tidak membawa murid-murid biasa sebaliknya binatang peliharaan iaitu anjing untuk dihantar ke pusat penjagaan haiwan di kawasan tersebut.
Berdasarkan rakaman berdurasi 14 saat yang dikongsikan di platform TikTok itu, terlihat perakam sedang berada di dalam kereta lain ketika menyusuri jalan sebelum tertarik kepada sebuah kenderaan.
Perakam kemudian mengalihkan fokus kamera ke arah dalam kenderaan yang tertera perkataan ‘Bas Sekolah Anjing’ itu sebelum muncul haiwan berbulu putih dengan tompok berwarna coklat.
Haiwan yang merupakan seekor anjing terlihat agak jinak dalam kenderaan tersebut dan memusingkan kepalanya untuk melihat kawasan sekitar serta sempat memandang ke arah kamera.
“Bas sekolah anjing dekat Sri Hartamas,” tulis perakam di ruangan kapsyen video yang sudah mendapat tontonan sebanyak 202,000 dan 19,800 tanda suka dari pengguna TikTok setakat artikel ini ditulis.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna baru mengetahui kewujudan sekolah untuk anjing di Malaysia kerana hanya selalu melihatnya di luar negara sebelum ini.
Ramai juga pengguna TikTok berkongsi cadangan untuk mewujudkan sekolah khusus buat kucing supaya dapat melatih haiwan peliharaan mereka agar menjadi lebih ‘mendengar kata’.
“Anjing pun pergi sekolah. Budak-budak sekarang sahaja yang malas pergi sekolah. Selepas itu, habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia buat macam sudah pencen,” seloroh seorang pengguna.
“Kalau ada sekolah kucing, saya nak hantar juga. Di rumah saya ada dua ekor, suka buat hal. Bila marah, menjawab. Bila lapar, buat bising. Bila pasir kotor, tak mahu berak. Sudah kenyang, tidur tak reti bangun. Rumah pula suka selerakkan.” Kata pengguna lain.
Baca juga: Lelaki minta derma orang ramai sebab nak cukupkan duit kahwin