Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Datuk Mohd Razali Alias berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas dakwaan menerima suapan AS$20,000 dan RM64,600 bagi pembelian tiket penerbangan ke luar negara untuk isterinya pada dua tahun lalu.
Beliau yang juga bekas pegawai tertinggi Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) berusia 60 tahun itu bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd Razali didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah AS$20,000 bagi dirinya daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn Bhd, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, 45, di MDIO Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur antara bulan Ogos dan November 2024.
Wang itu adalah dorongan buat dirinya sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO ATM meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan untuk tujuan pembayaran bagi Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Manakala untuk pertuduhan kedua, Mohd Razali didakwa sebagai Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan MDIO ATM yang menerima pembayaran berjumlah RM26,800 untuk pembelian tiket penerbangan pergi dan balik di antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol buat isterinya iaitu Azarina Bakia, 59, tanpa balasan daripada individu sama si mana tertuduh ketahui ia mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di tempat sama pada 15 November 2024, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, lapor Berita Harian.
Mohd Razali juga didakwa bagi tuduhan ketiga menerima RM37,800 untuk isterinya bagi pembelian tiket pesawat pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Estonia tanpa balasan daripada Sheikh Ahmad Nafiq, yang mana tertuduh ketahui ia mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Kesalahan itu juga didakwa dilakukan di tempat yang sama pada 28 April 2025 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sama iaitu dipenjara dalam tempoh maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Saya faham, saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya memetik laporan Berita Harian yang sebelum ini tiba di mahkamah pada sekitar jam 8.35 pagi dengan memakai sut lengkap berwarna coklat dan diiringi pegawai SPRM sebelum dibawa ke Mahkamah Khas Rasuah.
Baca juga: Hilang lebih RM3,000 penangan ringgit mengganas, pekerja Malaysia di Singapura mula terasa kesan