Bengkel lain caj RM700, tak sangka mekanik jujur wujud lagi – “Bayar puluhan ringgit ‘settle’!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda berkongsi rasa kagum apabila mendapati mekanik tempatan yang bekerja secara jujur dan tidak mengejar untung semata-mata masih lagi wujud.

Malah mekanik terbabit juga enggan mengambil kesempatan ke atas pelanggannya kerana berpegang teguh kepada prinsip bahawa rezeki itu datang daripada Tuhan.

Pemuda dikenali sebagai Amal itu berkata, seorang pelanggan hadir ke bengkel yang terletak di Ampang, Kuala Lumpur selepas keretanya mengalami masalah ‘absorber’.

Menurut pelanggan terbabit, bengkel-bengkel lain telah memberikan cadangan untuk menukar terus satu set absorber di mana ia akan menelan belanja yang agak besar.

“Perasaan bercampur baur apabila melihat mekanik kereta yang jujur buat pekerjaan mereka. Member (pelanggan) datang selepas kereta miliknya mengalami masalah absorber.

“Dua ke tiga bengkel lain suruh tukar satu set belakang. Tetapi jumpalah mekanik ini yang hanya suruh tukar ‘bush’ sahaja. Dengan kos puluhan ringgit sahaja, masalah selesai.

“Tetapi kasihan juga apabila untung jualan bengkel tersebut menjadi rendah. Mereka berkata tidak mengapa, rezeki Allah yang berikan,” tulis Amal menerusi satu ciapan di akaun X miliknya.

Menurut Amal, pelanggan merasa gembira kerana dapat menjimatkan kos berikutan wang berkenaan boleh digunakan untuk menggantikan tayarnya yang sudah botak.

Dalam hantaran yang sama, Amal turut menjelaskan bahawa bengkel kebiasaannya mengenakan caj sekitar RM700 hingga 800 untuk menukar absorber termasuk upah.

“Sebatang absorber ada dua bush dan satu stopper. Ini kereta terpakai, jadi stopper juga perlulah ditukar. Dua batang kiri dan kanan belakang. Jadinya ada empat bush dan dua stopper

“Temasuk upah, bengkel ini hanya mengenakan caj sebanyak RM122 sahajalah untuk dua batang yang nilai puratanya RM61 sebatang,” jelas pemuda terbabit di ruangan komen.

Amal mengakui kejadian yang berlaku di hadapan matanya itu meninggalkan kesan mendalam buatnya lebih-lebih lagi dalam mencari keberkatan sambil meraih rezeki.

“Tetapi apabila fikir balik, mungkinlah mereka sanggup melepaskan keuntungan yang besar demi rezeki yang lebih berkat. Dapat juga bina kepercayaan orang yang akan datang lagi menjadi pelanggan tetap.

“Boleh jadi, ini adalah teguran dan peringatan daripada Allah untuk saya berusaha mencari rezeki yang berkat.” Akuinya yang turut berkongsi gambar dua unit bush yang ditukar mekanik bengkel di Pandan Indah itu.

Baca juga: Dah 3 tahun masih tiada pembida, banglo Sajat turun harga lagi, kini jatuh RM4.21 juta