Berang anak habiskan data internet, ibu sanggup jirus air panas pada zuriat sendiri

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita sanggup menjirus air panas terhadap anaknya sendiri selepas kanak-kanak itu menghabiskan data internet telefon bimbitnya.

Perbuatan wanita berkenaan hanya terbongkar selepas rakan anaknya menyedari ada kesan luka pada baju sekolah yang dipakai oleh mangsa berusia 13 tahun itu.

Ibu kepada rakan mangsa kemudian membuat keputusan untuk mengambil tindakan dengan menghubungi dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Kejadian itu dipercayai berlaku tahun lepas dan tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Selasa lalu (26 September 2023) untuk menghadapi pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas anak lelakinya dengan cara menyimbah air panas ke arah mangsa.

Wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2.56 pagi di sebuah rumah di taman perumahan kakitangan kerajaan di Sungai Udang, Melaka pada 27 Jun 2022 lalu.

Memetik laporan Astro Awani, tertuduh telah didakwa di atas kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Difahamkan, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau dengan sebat jika sabit kesalahan.

Wanita yang mempunyai empat orang cahaya mata itu juga dikatakan sering memukul anaknya, namun perlakuan tersebut tidak pernah dilaporkan.

Akhirnya perbuatan wanita itu terbongkar selepas anak kedua daripada empat beradik itu dijirus air panas kerana telah menghabiskan data internet di telefon bimbitnya.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Hal ini kerana pihak pendakwaan mengambil kira faktor tertuduh yang tinggal di rumah yang sama dengan mangsa dan cadangan ini dipersetujui oleh mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu juga tidak membuat sebarang rayuan bagi jaminan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

Baca juga: 14 tahun hidup bersama, suami saman isteri lepas dapat tahu isteri rupanya orang Bangladesh