Berang hutang RM87,000 tidak dibayar, wanita pukul dan tendang perut bekas suami

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara enggan membayar hutang bekas isteri, seorang lelaki harus menerima padah apabila wanita itu nekad memukul dirinya.

Tidak hanya ditumbuk di bibir, wanita yang berusia 38 tahun itu didakwa telah mengetuk kepala lelaki berkenaan dengan hulu pengikis simen.

Masih lagi tidak berpuas hati, perut lelaki terbabit dipercayai turut ditendang oleh bekas isterinya yang berkerja sebagai akauntan itu.

Baru sahaja bercerai pada 11 Julai lalu, lelaki tersebut difahamkan telah meminjam wang sebanyak RM87,000 daripada bekas isterinya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, insiden tersebut berlaku di sebuah rumah di Bukit Indah, Ampang, Selangor.

Ketika kejadian, mangsa yang merupakan lelaki tempatan itu sedang mengemas rumah sewanya sebelum diserahkan kepada pemilik asal.

Pada pukul 6.55 petang, bekas isteri mangsa kemudian mendatangi rumah sewa itu di dalam keadaan marah sebelum bertindak memukulnya.

Susulan daripada kejadian itu, pihak polis telah bertindak menahan wanita yang merupakan wanita tempatan itu pada pukul 9.45 malam.

Insiden pergaduhan tersebut berlaku pada 6 Ogos lalu dan wanita berkenaan ditahan di Ampang pada hari yang sama.

“Mangsa yang bekerja sebagai peniaga itu telah ditumbuk pada bibir dan diketuk menggunakan hulu pengikis simen di kepala serta ditendang pada perut.

“Siasatan mendapati, pasangan tersebut baru sahaja bercerai 11 Julai lalu serta mempunyai seorang anak perempuan berusia satu tahun tujuh bulan.

“Permohonan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret Ampang pada pagi ini,” ulas beliau.” Katanya memetik Kosmo.

Menurut Mohd. Azam, kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

Jika disabitkan kesalahan, bekas isteri lelaki itu berdepan dengan hukuman dipenjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun.

Wanita tersebut juga boleh dikenakan denda atau dengan sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Baca juga: 10 tahun kahwin baru dapat anak, suami duka isteri meninggal lepas 3 bulan bersalin