Kerajaan meningkatkan stok simpanan beras negara kepada 300,000 tan metrik sebagai langkah awal menghadapi ketidaktentuan bekalan susulan krisis tenaga global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pendekatan itu diambil secara terancang bagi memastikan bekalan makanan asas negara kekal mencukupi dan terjamin.
Menurut beliau, penambahan stok tersebut penting sebagai persediaan sekiranya berlaku gangguan bekalan di peringkat global.
“Melihat situasi semasa berkaitan krisis tenaga global, kerajaan terus mengambil langkah yang tenang dan terancang dengan menambah stok simpanan beras negara kepada 300,000 tan metrik sebagai persediaan awal.
“Langkah ini bertujuan memastikan bekalan beras kita kekal mencukupi dan terjamin.
“Kerajaan sentiasa memantau keadaan dan terus bekerja untuk memastikan keperluan asas semua terjaga dengan baik,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Tambah beliau, kerjasama semua pihak termasuk rakyat amat penting dalam memastikan usaha kerajaan untuk mengekalkan kestabilan bekalan makanan dapat dicapai secara berterusan.
“Dalam masa yang sama, Bang Mat nak ajak semua rakyat untuk terus berjimat cermat dan elakkan pembaziran.
“Insya-Allah, segala usaha ini adalah demi memastikan keterjaminan makanan negara sentiasa kukuh, dan setiap rakyat terus menikmati bekalan yang mencukupi dan terjamin,” katanya.
Baca juga: Bantuan segera, penempatan sementara mangsa kebakaran di Sandakan diutamakan – PM Anwar