Bantuan segera, penempatan sementara mangsa kebakaran di Sandakan diutamakan – PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terkesan dan menzahirkan rasa dukacita atas kejadian kebakaran yang mengakibatkan kemusnahan kepada ratusan rumah di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa keutamaan kini adalah untuk memastikan keselamatan semua mangsa selain penyaluran bantuan segera kepada penduduk terjejas,.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan kini sedang menyelaras rapat bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan bantuan dapat disediakan dengan kadar segera kepada semua mangsa.

“Terkesan tatkala menerima laporan kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan yang telah memusnahkan ratusan buah rumah penduduk kampung. Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan.

“Kerajaan Persekutuan sedang menyelaras bersama Kerajaan Negeri Sabah untuk bantuan asas dan penempatan sementara sesegera mungkin,” katanya dalam hantaran itu bersama gambar memaparkan kejadian kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi.

Terdahulu, kejadian kebakaran yang dilaporkan berlaku di perkampungan di atas air itu menyebabkan ratusan rumah musnah dan ribuan penduduk dijangka kehilangan tempat tinggal mereka.

Kebakaran merebak cepat kerana faktor angin kencang dan kedudukan rumah yang terlalu rapat selain keadaan air laut surut pula menyukarkan proses mendapatkan sumber bekalan air terbuka untuk usaha pemadaman.

Api yang marak itu akhirnya berjaya dikawal petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Zon 6 Sandakan sekitar jam 8 pagi tadi selepas bertungkus-lumus menjalankan tugas walau berdepan cabaran.

Masalah ini termasuk laluan sempit ke lokasi kejadian serta kenderaan yang menghalang pergerakan jentera penyelamat selain struktur rumah dibina dengan rapat serta keadaan cuaca menyebabkan kebakaran marak.

Dalam perkembangan terbaharu, hampir 90 peratus rumah di perkampungan itu didapati musnah hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 8,000 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat kejadian tersebut.

Difahamkan, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi kini diaktifkan sebagai Pusat Permindahan Sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa kebakaran yang menyebabkan sekitar 1,000 rumah musnah.

Baca juga: “Nak pinjam RM5 pun tak dapat” – Terpaksa tolak motor balik, ini kisah abang minyak hitam jalanan