Kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mentadbir Malaysia nampaknya masih belum hilang.
Malah Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun itu masih menjadi pilihan ‘popular’ dalam perbincangan di media sosial tentang calon Perdana Menteri pada penggal hadapan.
Sempat menimbulkan tanda tanya, persoalan mengenai faktor populariti Anwar ini terjawab susulan perbincangan hangat berhubung isu tersebut dibangkitkan di platform Threads.
Difahamkan, perbincangan tersebut timbul selepas seorang individu memuat naik perkongsian di akaun Threads miliknya bertanyakan pendapat orang ramai tentang pencalonan Anwar di pilihan raya akan datang.
“Betulkah ramai suka dekat Perdana Menteri PM yang sekarang ini? Ramai yang nak kekalkan PMX (Perdana Menteri ke-10) ini lagi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang? Anda setuju?,” soalnya.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna Threads bersetuju untuk mengekalkan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri di penggal hadapan.
Ramai juga pengguna berkongsi pandangan sama bahawa perkara ini mungkin berpunca daripada ketiadaan calon yang setanding dengannya terutama daripada aspek pengalaman.
“Siapa nak ganti dia? Tak nampak calon lain. Kalau boleh nak Datuk Seri Rafizi Ramli (bekas Menteri Ekonomi) atau Khairy Jamaluddin (Bekas Ketua Permuda Umno). Tetapi tengoklah keadaan mereka sekarang,” kesal seorang pengguna.
“Betul, tak perlu tukar sana sini. PMX cuma perlu tukar orang dalam Kementerian yang penting untuk peringkat perlaksanaan. Malaysia sekarang lebih memerlukan ‘aksi’ daripada sekadar kata-kata.” Kongsi pengguna lain.