Betul ke mayat dalam kubur menangis bila dengar takbir raya? Ini penjelasan Jabatan Mufti WP

Oleh KIM SYAZIE

Berikut penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai benar atau tidak mayat menangis apabila mendengar takbir raya selain daripada hari raya.

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada beberapa soalan. Yang pertama bolehkah kita takbir raya secara lantang selain daripada waktu raya dan yang kedua, benarkah mayat akan menangis apabila melaungkan takbir raya bukan pada waktunya.

Ringkasan Jawapan

Melaungkan takbir raya secara lantang pada hari selain daripada hari raya dan hari tasyrik adalah perkara yang tidak disunatkan untuk melakukannya dan ia boleh mendatangkan kejanggalan dan fitnah dalam kalangan masyarakat.

Namun, sekiranya ia dilakukan secara bersendirian maka dibenarkan bahkan digalakkan kerana berzikir kepada Allah SWT merupakan perkara yang dituntut dan takbir raya merupakan salah satu daripada zikir kepada Allah SWT.

Manakala, dakwaan melaungkan takbir raya pada selain hari raya akan menyebabkan mayat di dalam kubur menangis, tidak dijumpai nas dan dalil yang menyebutkan sedemikian.

Huraian Jawapan

Sambutan hari raya Aidilfitri disambut dengan gema takbir bagi menggambarkan syiar Islam di samping meraikan kemenangan dalam menghadapi ujian dan dugaan di bulan Ramadan. Takbir pada hari raya merupakan perkara yang disunatkan berdasarkan firman Allah SWT.

Namun, timbul persoalan berkenaan dengan adakah dibolehkan untuk takbir raya pada hari yang lain.

Justeru, dalam menjawab persoalan ini, secara asasnya takbir termasuk di dalam amalan berzikir dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Bahkan ia juga merupakan ucapan yang disukai oleh Allah SWT berdasarkan keumuman hadis yang diriwayatkan oleh Samurah bin Jundub RA.

Namun, takbir raya secara lantang pada hari selain daripada hari raya dan hari tasyriq bukanlah menjadi perkara yang disunatkan.

Hal ini kerana, takbir raya hanya disyariatkan pada hari raya dan hari tasyriq sahaja akan tetapi tidak menjadi masalah apabila ia dilakukan secara bersendirian.

Mayat Menangis Apabila Takbir Raya Selain daripada Hari Raya

Merujuk kepada persoalan kedua, dikatakan bahawa keadaan mayat akan menangis apabila mendengar takbir raya yang dilaungkan pada hari selain daripada hari raya , sama ada sebelum atau selepasnya. Perkara ini tidak dijumpai sandaran dalil dan nas yang menyebutkan tentangnya.

Namun tidak dinafikan bahawa mayat boleh mendengar keadaan di atas dunia ini. Sebagai contoh, mayat boleh mendengar bunyi tapak kasut sahabatnya yang telah mengkebumikannya apabila sahabat-sahabatnya pulang meninggalkannya.

Hal ini sebagaimana yang diceritakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, Sabda Nabi SAW:

Maksudnya: Jika suatu jenazah sudah diletakkan didalam kuburnya dan teman-temannya sudah berpaling pergi meninggalkannya, jenazah tersebut akan mendengar gerak langkah kasut mereka.

Kesimpulan

Melaungkan takbir raya secara lantang pada hari selain daripada hari raya dan hari tasyrik adalah perkara yang tidak disunatkan untuk melakukannya dan perkara tersebut boleh mendatangkan kejanggalan dalam kalangan masyarakat. Namun, sekiranya ia dilakukan secara bersendirian maka dibenarkan bahkan digalakkan kerana berzikir kepada Allah SWT merupakan perkara yang dituntut dan takbir raya merupakan salah satu daripada zikir kepada Allah SWT. Manakala, melaungkan takbir raya pada selain hari raya akan menyebabkan mayat di dalam kubur menangis tidak dijumpai nas dan dalil yang menyebutkan sedemikian.

Wallahu’alam

Baca juga: Kenapa ya anak B40 selalu susah nak naik jadi T20? Perkongsian pemuda ini jadi perhatian