Ceramah Perdana Pimpinan Utama Pakatan Harapan (PH) diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban susulan konflik semasa di negeri itu berjaya mendapat sambutan ramai.
Program yang diadakan malam tadi itu dilihat dapat meredakan kemarahan penyokong susulan tercetusnya pertembungan adat dan kekecohan politik di Negeri Sembilan sejak 27 April lalu.
Ketua Setiausaha Agung (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengambil kesempatan tersebut untuk turut mengumumkan hala tuju parti di negeri berkenaan pada masa akan datang.
Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu menegaskan bahawa fokus utama parti PH kini adalah memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri untuk penggal kedua.
Menurutnya, hala tuju itu sangat jelas dan tindakan perlu dimulakan dengan mengekalkan kestabilan politik di Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Kita nak teruskan tempoh penggal berbaki dan kalau ditanya apa hala tuju Pakatan Harapan, kita nak berusaha untuk memerintah penggal kedua dan Anwar Ibrahim memimpin sebagai Perdana Menteri.
“Hala tuju kita sangat jelas dan itu mesti bermula dengan Negeri Sembilan. Kita terus bina kekuatan, dan Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun) akan terus memimpin dengan penuh cemerlang,” katanya.
Turut hadir dalam program itu adalah Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Aminuddin Harun selaku Pengerusi PH negeri Sembilan.
Kesemua pemimpin yang hadir bersetuju bahawa konflik politik di negeri itu wajar diambil sebagai pengajaran berharga terutamanya dalam menentukan masa depan PH sebagai kerajaan.
Ceramah diadakan di stadium itu turut disiarkan secara langsung di platform Facebook melalui akaun Malaysia Dateline malah masih boleh ditonton sehingga kini.
Baca juga: “Malaysia makin jauh ninggalin kita!” – Rakyat Indonesia kesal nilai Rupiah jatuh lagi