“Bila mereka kahwin pun kami tak tahu” – Keluarga tak kenal rapat suami mangsa bunuh di Juru

Oleh MALAYSIADATELINE

Keluarga mangsa bunuh di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam mendakwa mereka tidak mengenali suami wanita itu dengan rapat sejak mereka mendirikan rumah tangga lebih lima tahun lalu.

Perkara itu diakui sendiri oleh abang kandung mangsa, Bismi Che Hin yang memaklumkan bahawa dirinya hanya beberapa kali bertemu dengan adik iparnya selain jarang sekali berbual bersama.

Menurut lelaki berusia 60 tahun itu, adiknya merupakan isteri kedua namun ahli keluarga tidak tahu bagaimana mangsa berkenalan dengan suaminya sebelum berkahwin lima tahun lalu.

Difahamkan, antara punca mengapa adik-beradik kurang mengenali suami mangsa adalah berikutan sikapnya yang tidak banyak bercakap terutama ketika mereka bertemu, lapor Kosmo.

“Kami memang tak kenal rapat dengan suami mangsa. Macam mana mereka (pasangan itu) berkenalan dan bila mereka kahwin juga kami tak tau (tidak tahu). Suami adik pun tak banyak cakap.

“Dia banyak mendiamkan diri apabila bertemu,” katanya memetik laporan Kosmo ketika ditemui oleh pihak media di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang sebentar tadi.

Bismi memaklumkan bahawa adiknya tinggal di rumah itu bersama dua anak angkatnya dan kali terakhir dirinya bertemu mangsa adalah di majlis penikahan anak sulung wanita terbabit pada awal tahun ini selain berhubung melalui WhatsApp pada Jun lalu.

Terdahulu, mangsa iaitu Sariya Che Hin, 51, dan anaknya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui mati disyaki dibunuh di dalam rumah sewanya di Kampung Sekolah Juru dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam semalam.

Kedua-dua mangsa dipercayai ditemukan dalam keadaan cukup menyayat hati dengan kesan tikaman dan kelar pada anggota badan termasuk hampir putus kepala dan anggota tangan.

Pihak polis kemudian menahan lelaki berusia 57 tahun iaitu suami mangsa yang menemukan mayat kedua-dua beranak terbabit untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Walau bagaimanapun, pihak polis belum mengesahkan sama ada suami mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang itu merupakan suspek utama dalam kes tersebut atau sebaliknya.

Baca juga: Tular rakaman suara suami maklum isteri dan anak kena bunuh, tak dapat pergi kerja