“Bila minta kena marah balik” – Iqbal terkilan ramai pinjam tak bayar, hutang cecah RM200,000

Oleh MAISARAH AISYA

Zaman sekarang, semakin ramai mereka yang berhutang hidup selamba tanpa rasa bersalah, seolah-olah wang yang dipinjam itu hak mereka sendiri.

Lebih menyedihkan, individu yang bermurah hati memberi pinjam pula terpaksa menebalkan muka dan rasa tidak selesa semata-mata untuk meminta kembali wang yang memang menjadi haknya.

Menerusi Threads, usahawan dan pempengaruh media sosial, Iqbal Zulkefli meluahkan rasa terkilan apabila mereka yang berhutang dengannya gagal melunaskan bayaran.

“Saya baru tersedar lepas kira-kira orang ambil duit saya, sama ada hutang atau servis, lebih dari RM200,000.

“Saya ni jenis diam demi menjaga hubungan baik. Malah kalau minta balik duit sendiri, saya yang kena marah balik,” kongsinya di Threads.

Iqbal turut mendedahkan bahawa daripada kira-kira 30 individu pernah meminjam wang daripadanya, hanya lima orang sahaja yang bertanggungjawab membayar semula.

“Percayalah, dalam 30 orang yang saya bagi pinjam, ada dalam lima orang saja yang bayar balik.

“Kesemua bersumpah nama Allah, berjanji, tetapi apabila saya minta balik, putus terus hubungan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, situasi itu membuatkan dia sering dilihat sebagai ‘jahat’ apabila menuntut haknya sendiri, sekali gus menyebabkan dia lebih berhati-hati dalam memilih kawan.

“Nampak saya semacam jahat. Sebab itu saya tidak beria berkawan,” tambahnya.

Baca juga: Ibu kecewa kantin sekolah anak jual mi segera berharga RM3, ‘confirm’ tolak bekal!