Budak 12 tahun maut lepas terjun dari tingkat 15, seram bila tahu punca sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan maut di dalam keadaan yang menyayat hati selepas terjun daripada tingkat 15 pangsapuri yang didiaminya.

Tiada unsur jenayah ditemui, kanak-kanak berusia 12 tahun berkenaan dipercayai telah bertindak terjun daripada bangunan tinggi tersebut di atas kerelaannya sendiri.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak Tahun 6 yang malang itu sanggup bertindak di luar jangkaan kerana sering dipaksa oleh ibu bapanya untuk menghadiri kelas tuisyen.

Difahamkan, ibu bapa mangsa telah mendaftarkannya untuk mengikuti kelas tuisyen subjek matematik yang dijadualkan berlangsung setiap hari selama satu jam.

Namun pada Jumaat lalu, kanak-kanak itu menyatakan keengganannya untuk menghadiri kelas tuisyen yang dijalankan dari jam 5 petang sehingga 6 petang itu.

Ibu bapa mangsa bagaimanapun tetap mendesak kanak-kanak tersebut untuk hadir ke kelas tuisyen yang beroperasi di tingkat 15 di pangsapuri sama yang didiaminya.

Setelah sampai ke tingkat 15, kanak-kanak itu malah menuju ke balkoni dan nekad terjun bangunan sebelum segera dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian tersebut berlaku di pangsapuri yang terletak di Nallagandla, Hyderabad, India dan kanak-kanak itu malangnya tidak berjaya diselamatkan, lapor Times of India.

Mengundang simpati, kejadian ngeri itu disahkan oleh Nageshwara Rao yang bertugas sebagai Sub-Inspektor (SI) Polis Chandanagar (pinggir bandar Nallagandla).

“Sepatutnya memasuki flat tempat tuisyen matematiknya diadakan, anak itu malah membuka tingkap balkoni di koridor pangsapuri dan bertindak melompat ke bawah.

“Kes melibatkan kanak-kanak itu telah didaftarkan di bawah seksyen CrPC 174.” Jelas Nageshwara memetik Times of India.

Baca juga: “Kau siap hantar gambar tak berbaju dekat suami aku, bila aku buat laporan polis mula merayu suruh fikir anak kau, suami aku pun melayan, tak sedar diri aku yang tanggung dia…”