“BUDI95 sekarang RM2.03?” – Hantaran tular buat netizen keliru, ramai tampil betulkan fakta

Oleh MALAYSIADATELINE

Sejak kebelakangan ini, makin ramai di media sosial mula panik dan mempersoalkan kononnya harga BUDI95 sudah naik daripada RM1.99 kepada RM2.03 seliter.

Namun hakikatnya, dakwaan itu tidak tepat kerana RM2.03 sebenarnya merujuk kepada jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan, bukannya harga minyak yang dibayar pengguna di pam.

Tular di Threads, seorang pengguna media sosial, @jamesalif, memuat naik hantaran ringkas berbunyi, “Budi95 sekarang RM2.03?”

Hantaran tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi netizen yang tampil menjelaskan bahawa angka RM2.03 itu sebenarnya merujuk kepada jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan.

Seorang pengguna dikenali sebagai @ntilspace menjelaskan harga pasaran sebenar petrol ketika ini adalah sekitar RM4.02 seliter,

Jelasnya kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.03 menjadikan pengguna masih membayar RM1.99 seliter.

“Harga pam RM4.02/L, harga subsidi RM1.99/L. RM4.02 tolak RM1.99 bersamaan RM2.03, itu nilai yang ditanggung kerajaan,” jelasnya.

Selain itu, seorang lagi pengguna turut menegur kekeliruan yang berlaku dan meminta orang ramai memahami dahulu sesuatu isu sebelum membuat kesimpulan.

“Harga sebenar yang kerajaan subsidikan masih RM2.03. Harga yang anda bayar masih RM1.99. Jadi secara teknikal, anda masih bayar bawah harga pasaran,” katanya.

Ruangan komen turut dipenuhi pelbagai reaksi lucu netizen yang menganggap situasi tersebut sebagai salah faham berkaitan istilah subsidi dan harga sebenar petrol.

“Ya betul.. BUDI95 tu bahagian kerajaan bayar. Ia berubah ikut harga minyak semasa.
Yang hang (awak) bayar tu tetap sama RM1.99 seliter.

“First thread pasal BUDI95 RM2.03 kakakakaka,” komen seorang pengguna Threads.

Baca juga: Siapa Ketua Pembangkang? Dewan Rakyat belum terima surat ‘resign’ dari Hamzah