Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang membangkitkan isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Anwar, projek strategik itu merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang dibangunkan bersama kerajaan negeri dan tidak sepatutnya dipolitikkan demi meraih sokongan pengundi lapor Berita Harian.
Beliau berkata, pelaksanaan JS-SEZ melibatkan kerjasama rasmi antara kerajaan Malaysia dan Singapura di peringkat tertinggi, sekali gus tidak wajar dijadikan bahan serangan politik.
“Soal nak turunkan tanda tangan itu, ia antara Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura. Ia belum (sampai ke tahap) Menteri Besar lagi.
“Jadi tak payah jadikan isu, sehingga kini projek sedang berjalan dengan belanja yang tinggi serta turut menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat.
“Sudah la tak berterima kasih, dia (gunakan isu) masa kempen untuk mencela, ini tidak kena dan tak cerdik,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan, Onn Hafiz menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pengumuman pelan induk JS-SEZ bagi memastikan keyakinan pelabur terus diperkukuh serta momentum pembangunan ekonomi Johor tidak terjejas.
Beliau berkata, pelan induk berkenaan telah disiapkan dan sewajarnya diumumkan tanpa sebarang kelewatan kerana ia penting dalam memberikan hala tuju yang jelas kepada pelabur.
Menurut Onn Hafiz, pelan itu pada asalnya dijadual diumumkan pada penghujung 2025 sebelum tarikh baharu ditetapkan pada 30 Mac lalu, namun sekali lagi ditangguhkan.
Baca juga: PM Anwar umum peruntukan RM10 juta, Proton S70 jadi pilihan Program Teksi Madani