Roslan Shah lupa pakai ‘pampers’, terpaksa alas dengan kain ketika naik kereta Ebit Lew

Oleh WAN SITI AMINAH

Aksi pengacara popular asal Singapura, Roslan Shah yang memakai lampin pakai buang dalam rakaman tular ketika melakukan aktiviti paranormal bukanlah sekadar lakonan semata-mata.

Sebaliknya, pengacara yang lebih mesra disapa sebagai Cik Lan itu mempunyai alasan tersendiri mengapa lampin perlu disediakan dengan lebih awal sebelum merakam kandungan sedemikian.

Personaliti berusia 53 tahun itu mengakui dirinya tidak mampu mengawal hasrat untuk terkencing mahupun membuang air besar apabila disergah secara tiba-tiba atau berada dalam keadaan terkejut.

Perkara itu didedahkan oleh Cik Lan ketika hadir menjadi tetamu dalam satu program audio siar ataupun ‘podcast’ yang dikendalikan oleh pelakon dan pempengaruh, Safwan Nazri iaitu Sembang Seram.

“Itu adalah realiti. Kadangkala kalau ada orang terkejutkan atau sergah, saya akan terkentut dan terberak. Sumpah saya tidak tipu. Jadi saya pakai lampin yang besar, iaitu saiz XXL. Kalau buat ‘night walk’ saya akan pakai.

“Macam episod dengan Azlee Senario, saya pakai sebab takut terkencing. Tetapi Alhamdulillah, episod itu saya tak terkencing. Cuma episod dengan Sajatlah saya terkencing. Saya memang tidak tahan,” kongsi Roslan Shah.

Sedutan rakaman program podcast yang memaparkan pengakuan dibuat oleh Cik Lan itu turut dikongsikan di platform TikTok menerusi satu hantaran video berdurasi empat minit 18 saat.

Dalam program tersebut, Cik Lan turut mendedahkan kejadian yang agak memalukan selepas merakam episod bersama penceramah bebas iaitu Ebit Lew ekoran terlupa memakai lampin.

“Episod dengan Ustaz Ebit Lew, saya terberak dan tercirit. Terkeluar tahi sedikit. Jadi masa balik, saya terpaksa alas kain dalam kereta Vellfire milik Ustaz Ebit. Ketika itu saya tak pakai lampin.” Dedahnya.

Baca juga: Netizen Indonesia ajak ramai-ramai pindah, kahwin dengan orang Malaysia