Rupanya ini peranan MD2030, pelan tindakan strategik dilancar PM Anwar

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar hari ini melancarkan Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030): Ke Arah Negara AI sebagai persiapan dalam menghadapi cabaran ekonomi teknologi baharu pada masa hadapan.

Menerusi perkongsian di platform Facebook, Anwar memaklumkan bahawa ikhtiar strategik negara ini dapat membantu Malaysia mendepani era kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi yang berasaskan data.

Rangka tindakan nasional bagi tempoh 2026-2030 ini sekali gus membantu untuk memperkukuh daya tahan Malaysia dalam mengharungi ketidaktentuan geopolitik serta persaingan ekonomi digital global.

“Pagi tadi saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), sebelum menyempurnakan peluncuran Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030): Ke Arah Negara AI.

“Keutamaan kita adalah memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan tersusun, berdisiplin dan berimpak agar dapat memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing perniagaan serta memacu Malaysia ke arah sebuah Negara AI yang inklusif menjelang 2030.

“Dalam mesyuarat ini, saya turut menegaskan bahawa perkhidmatan digital Kerajaan perlu dibangunkan secara dalaman di bawah penyelarasan Kementerian Digital menerusi Jabatan Digital Negara,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan dalam hantaran tersebut.

Anwar menjelaskan bahawa ikhtiar tersebut penting dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan data negara, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta membangunkan kepakaran digital sektor awam.

Sasaran Nasional Komprehensif

  • Pelan ini merangkumi sasaran menjelang 2030 iaitu sebanyak 30 peratus sumbangan ekonomi digital disalurkan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam ekonomi digital.
  • Penjimatan sekitar RM4.5 bilion disasarkan bagi sektor awam hasil pendigitalan dalam pelan itu selain 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara dalam talian dari hujung ke hujung.

Digerakkan Melalui 7 Bidang Utama Diterajui Kementerian Berkaitan

  • Teras Kerajaan – Berperanan dalam memperkenalkan dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui penubuhan GovTech Malaysia.
  • Teras Ekonomi – Memacu negara sebagai hab inovasi dan perdagangan digital serantau melalui produk ‘Made by Malaysia’, adaptasi teknologi dalam Sektor Pertumbuhan dan Nilai Tinggi (HGHV) serta merealisasikan potensi data, aset digital dan Harta Intelek (IP).
  • Teras Infrastruktur – Menjamin ketersambungan Internet yang berkualiti di seluruh negara serta membangunkan infrastruktur digital masa hadapan yang mampan, termasuk pusat data, pengkomputeran awan, dan bandar pintar.
  • Teras Bakat – Memastikan tenaga kerja negara bersedia untuk ekonomi digital melalui kerangka dasar bakat yang menyeluruh, peralihan tenaga kerja yang tangkas dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital.
  • Teras Masyarakat – Kerajaan akan memastikan penglibatan inklusif rakyat dalam ekosistem digital melalui penginstitusian Indeks Keterangkuman Digital Malaysia, pemerkasaan komuniti luar bandar dan penyelesaian digital sosial.
  • Teras Kepercayaan dan Keselamatan – Kerajaan akan mengimbangi antara keselamatan digital dan keperluan inovasi melalui pengoperasian Suruhanjaya Data Negara serta pembangunan Strategi Kepercayaan Digital Negara 2026-2030.
  • Teras Inovasi – Memperkukuh rangkaian inovasi dari peringkat penyelidikan sehingga pengkomersialan melalui ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, inovasi dan ekonomi.

Pelaksanaan Diselaraskan Bersama Agensi Berkaitan

  • Agensi terlibat sebagai penyelaras adalah Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Jabatan Digital Negara atau GovTech Malaysia, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), CyberSecurity Malaysia, MyDIGITAL Corporation dan Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR).

Baca juga: 94 ciri keselamatan baharu! Ini yang buat pasport Malaysia lebih kukuh