“Bukan seperti yang orang sangka” – Watie Hanifiah jelaskan isu pemakaian Thalita

Oleh MAISARAH AISYA

Baru-baru ini, tular di media sosial isu berkaitan pemakaian anak kepada pelawak Shuib, iaitu Thalita, apabila tampil menggayakan gaun dengan bahu terdedah sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen.

Bagaimanapun, usahawan Watie Hanifiah yang juga ibu tiri kepada Thalita menjelaskan bahawa insiden itu berpunca daripada kesilapan rekaan persalinan yang ditempah dan tidak sempat diubah pada saat akhir.

Menurutnya, Shuib serta ahli keluarga lain turut menegur pemakaian gaun berkenaan kerana dianggap tidak sesuai untuk digayakan.

“Dia memang teringin nak pakai. Tapi sebenarnya hari itu, baju yang dia minta tidaklah seperti yang orang sangka.

“Dia minta bahagian atas yang jenis sampan-sampan sahaja, bukan sampai terdedah ke bawah. Namun rekaan baju tersebut memang sudah terpotong sedikit ke bawah.

“Sebab hari itu ramai ahli keluarga juga menegur. Cuma Daddy (Shuib) ni jenis yang menegur dengan cara sangat lembut.

“Daddy cakap lepas ni dia tak nak Talitha pakai baju macam tu,” jelas Watie dalam satu siaran langsung.

Dalam masa sama Watie memaklumkan Talitha pernah terdetik nak pakai tudung tapi dia masih di usia mahu mencuba gaya pakaian berbeza.

“Dia macam ni. Pertama sekali, Talitha ni dulu pernah cakap dia nak pakai tudung. Bukan dia tak pernah ada keinginan untuk pakai tudung pun.

“Lepas tu, bila dia makin besar, faktor persekitaran, keinginan dan macam-macam lagi mempengaruhi dia. Jadi keinginan itu berubah-ubah.

“Daripada nak pakai tudung, tiba-tiba dia teringin nak pakai pakaian tertentu yang dia rasa cantik,” kongsinya.

Jelasnya, dia memilih pendekatan berhemah kerana tidak mahu Talitha bertindak memberontak apabila keinginannya ditolak secara keras.

“Bila dia dah pakai, dia sendiri nampak apa yang orang cakap, kecaman dan komen yang diterima.

“Hari itu juga dia datang cakap, ‘Mummy (Watie), ramai orang komen pasal Dekta.’ Sekarang dia tahu, bila pakai macam itu, inilah kesannya.

“Biar dia nampak, biar dia rasa. Daripada situ dia boleh fikir dan buat keputusan sendiri, sama ada selepas ini dia nak pilih jalan itu lagi atau tidak.

“Sebab kalau kita halang budak yang dah sebesar ini, dia akan memberontak. Bukan bermaksud kita tak peduli, tetapi kita mahu dia belajar dan faham sendiri,” tambahnya.

Baca juga: Fatiya Latiff syukur dapat tawaran dari Aliff Syukri, peminat beri semangat agar bangkit kembali