“Cari rumah dekat kubur supaya senang ziarah” – Harun Hashim tak pernah lupa arwah isteri

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan mudah untuk memadam kenangan bersama pasangan yang sah, lebih-lebih lagi apabila insan yang pernah berkongsi suka dan duka itu telah pergi buat selama-lamanya.

Bagi pelakon veteran Harun Hashim, kehilangan isteri tercinta dua tahun lalu bukan alasan untuk memutuskan ikatan kasih yang pernah terjalin malah hingga ke hari ini, rutin hariannya tidak pernah berubah apabila dia setia melangkah ke pusara arwah.

Pelakon berusia 70 tahun itu turut berkongsi bahawa dia sengaja memilih kediaman baharu yang terletak berhampiran pusara arwah isterinya bagi memudahkan urusan ziarah hariannya lapor Kosmo! Online.

“Saya sudah dua tahun berseorangan di rumah. Setiap hari saya ke kubur isteri saya, itu sebab saya duduk dekat dengan tanah perkuburan isteri saya.

“Saya sayang dia. Orang nak kata apa pun, katalah. Saya memang cari rumah yang dekat dengan kubur supaya senang saya pergi ziarah.

“Tapi “kalau saya ‘shooting’ balik malam, tiadalah saya pergi. Takkan mahu ke kubur pada sebelah malam,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Menurut Harun ke mana sahaja mereka pergi, pasti dilakukan bersama. Dia memandu manakala arwah akan memantau aplikasi navigasi Waze kerana dirinya mudah terlupa arah.

Baginya, kehadiran arwah sentiasa dirasakan perlu dalam setiap perjalanan malah, pakaian milik arwah masih diletakkan di dalam kereta tanpa diusik

Ini termasuk bantal yang biasa digunakan, seolah-olah segala kenangan itu masih hidup dan dekat di sisi.

Jelasnya kalau ada penggambaran, ada orang yang ambil dan hantar malah bersyukur diberi kesihatan untuk terus berpuasa di bulan Ramadan.

“Alhamdulillah, walaupun jalan bergoyang-goyang, saya masih puasa sebab saya tiada sakit perut atau gastrik. Saya hanya ada darah tinggi dan kolestrol juga tinggi, malah lutut saya juga agak lemah.

“Tapi saya tetap boleh berjalan walau goyang-goyang. Kalau ada ‘shooting’, orang datang ambil dan hantar balik sebab jalan pun saya sudah lupa.

“Dialog pun orang bagi dan saya ikut saja apa yang pembantu pengarah suruh. Saya sebenarnya sudah banyak lupa tapi siapa yang sanggup ajarkan saya dialog, saya buat,” katanya.

Baca juga: PU Riz dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Biro Agama PKR – Fuziah Salleh