Rupanya ini kesalahan ‘fatal’ Nik Zawawi, berikut ulasan Pensyarah Pengajian Quran dan Sunnah

Oleh MALAYSIADATELINE

Kandungan ceramah disampaikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa memetik kisah para sabahat Nabi telah mencetuskan kontroversi hangat baru-baru ini.

Mana tidaknya dalam sesi ceramah tersebut, Nik Zawawi dikatakan bertindak menggunakan ungkapan yang tidak beradab terhadap para sahabat Rasulullah SAW sekali gus mengundang fitnah dan salah faham kepada agama.

Antara dakwaan dilemparkan beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh itu adalah tuduhan melakukan perbuatan zina selain menjadi seorang ‘ceti’ pada zaman Jahiliyyah atau sebelum memeluk agama Islam.

Sehubungan dengan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muhammad Yusry Affandy Md Isa al-Hafiz tampil menyampaikan teguran berhubung perkara tersebut.

Muhammad Yusry dalam teguran disampaikan melalui perkongsian dimuat naik di platform Facebook itu turut meluruskan dakwaan dan menyampaikan perkara sebenar berdasarkan rujukan kepada Sirah Muktabar.

“Secara vokal beliau, latar belakang Saiyidina Abu Bakar disebut sebagai watak jahat iaitu bapa ceti. Dalam rujukan sirah muktabar (autoriti) seperti al-sirah al-Nabawiyyah Imam Ibn Hisham dan al-Bidayah al-Nihayah Imam Ibn Kathir tidak meriwayatkan sedemikian. Saiyidina Abu Bakar sudah baik sebelum memeluk Islam.

“Dalam kitab-kitab sirah ketika menceritakan pengislaman Saiyidina Umar bin al-Khattab, akan menyebut (sikapnya) sebagai orang yang keras, orang penting Quraish dan peminum arak tegar. Namun catatan manuskrip muktabar tidak menyelitkan perilaku ‘mengusik’ wanita-wanita.

“Saidina Hamzah adalah tokoh berani ketika Jahiliyah. Dalam sesetengah riwayat, menyebutnya sebagai peminum arak tegar sebelum turun syariat yang mengharamkannya. Manakala menurut Imam Ibn Hajar di dalam al-Isabah, Saidina Ali pula adalah kanak-kanak berumur 10 tahun.

“Jadi amat mustahil untuk terlibat dalam aktiviti radikal maksiat dan kejahatan. Tambahan lagi wajahnya tidak pernah dihadapkan kepada berhala. Saidina Uthman terkenal amat pemalu semasa Jahiliyah dan sesudah Islam,” ulas pensyarah terbabit dalam perkongsian itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Yusry turut menyifatkan tindakan Zawawi sebagai kesalahan ‘fatal besar’ apabila memperincikan ‘kejahatan’ yang tidak diriwayatkan dalam kitab-kitab utama sirah selain berlawan dengan fakta dan nas tertentu.

Sehubungan dengan itu, Nik Zawawi wajar untuk memperbetulkan semula penceritaan tidak tepat tersebut kerana bimbang orang ramai akan ‘terbawa’ dengan fakta disampaikannya tanpa sandaran yang kuat.

“Berdasarkan analisis adil, ceramah itu telah tersilap besar kerana memerincikan kejahatan para sahabat semasa jahiliyah. Amat wajar dibetulkan segera, sesuai dengan status beliau seorang pemimpin dan juga salah seorang ilmuan Pantai Timur.

“Beliau sewajarnya menyebut tokoh-tokoh itu dengan merujuk kepada sumber yang lebih autoriti dan mengawasi ucapan supaya ‘tidak pukul rata. Hakikatnya mana-mana pengucap, ilmuan atau pemimpin boleh silap dan salah. Menjadi benar semula ialah apabila betulkan yang ralat.” Ujarnya.

Baca juga: Anwar anggap Vijay sahabat, ucap tahniah atas lantikan sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu