Pelakon, Rozita Che Wan perlu menjelaskan baki hutang pinjaman perniagaan sepenuhnya kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) sebelum penghujung bulan Mac ini.
Hal ini kerana pelakon itu sudah melunaskan sebahagian daripada hutang tertunggak sehingga Jumaat lalu sekali gus menangguhkan tindakan perlaksanaan penghakiman terhadapnya.
Menurut Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bayaran diperolehi dari pelakon yang lebih mesra dikenali sebagai Che Ta itu akan dimanfaatkan kepada orang lain lebih memerlukan.
“Tindakan pelaksanaan penghakiman terhadap Puan Rozita Che Wan ditangguhkan setelah Mara berjaya mendapat bayaran tertunggak RM550,000 sehingga Jumaat lalu.
“Manakala baki hutang tertunggak hendaklah dijelaskan sepenuhnya dalam tempoh tiga bulan sebelum penghujung Mac.
“Sudah saya tegaskan bahawa Mara tidak akan berkompromi dengan segala tindakan untuk mendapatkan semula setiap sen wang rakyat yang diamanahkan,” katanya dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook.
Terdahulu, pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu mengaku sudah melunaskan pinjaman Mara bernilai hampir RM1 juta menerusi perkongsian tangkap layar perbualan bersama anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana.
Dalam perbualan menerusi aplikasi WhatsApp itu, Aaisyah mempersoalkan status hutang Rozita dengan pihak Mara selain turut meluahkan kesedihan apabila ibunya menjadi sasaran kecaman ramai berhubung isu tersebut.
Sebelum ini, kediaman mewah milik Che Ta yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor diserbu oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 10 Disember lalu untuk urusan penilaian barangan bagi tujuan penyitaan.
Hal ini berikutan Che Ta yang juga usahawan itu didakwa gagal menjelaskan hutang pembiayaan perniagaan berjumlah hampir mencecah RM1 juta dipinjamnya pada 2017 daripada agensi berkenaan.
Pinjaman bernilai RM960,000 itu dibuat melalui syarikat milik Che Ta iaitu RCW Worldwide Sdn Bhd dengan pelakon terbabit dan anak sulungnya yang berusia 28 tahun iaitu Ammar Effendy bertindak sebagai penjamin.
Susulan itu, bahagian undang-undang Mara dilaporkan berada di dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya berikutan gagal membuat bayaran pinjaman perniagaan tersebut.
Pada 24 Disember lalu, satu acara lelongan awam membabitkan 34 barangan milik Rozita dengan jumlah keseluruhan bernilai RM902,012.46 sepatutnya diadakan, namun ditangguh atas permohonan pelakon berkenaan.
Baca juga: Aaisyah sedih tengok ibu dikecam orang ramai, Che Ta dedah sudah langsai hutang MARA