“Cuba kalau bab zuriat itu tanya pula kepada para suami, aku naik muak nak hadap”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita merasa hairan mengapa kaum suami jarang dijadikan ‘sasaran’ orang ramai sekiranya pasangan yang sudah berkahwin belum dikurniakan zuriat.

Sedangkan masalah seperti ini juga mungkin berpunca daripada sikap atau masalah daripada suami itu sendiri yang langsung tidak berusaha untuk mendapatkan anak.

Terpaksa melupakan hasratnya untuk menimang cahaya mata sendiri, berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Tasha yang cuba untuk berdamai dengan takdir Tuhan.

“Aku Tasha, berusia 29 tahun. Tak tahulah nak cerita masalah ini kepada siapa. Agak segan kalau nak bercerita dengan keluarga atau kawan. Sebab macam aib pun ada. Tetapi dalam masa yang sama, aku sudah tak mampu nak pendamkan seorang diri. Aku sudah berkahwin hampir dua tahun, tetapi belum ada rezeki dikurniakan anak.

“Apabila usia pernikahan sudah sebegini lama, sudah tentu akan ada soalan-soalan daripada keluarga dan rakan-rakan tentang perihal zuriat. ‘Sudah ada isi ke?, ‘Bila lagi? Orang lain kahwin tahun sama sudah ada anak satu’. Itulah bunyi-bunyi yang sering aku dengari setiap kali bersua muka dengan saudara ataupun kawan-kawan.

“Pada tahun pertama, mungkin aku agak terkesanlah dengan pertanyaan seperti ini. Tetapi lama-kelamaan, aku sudah lali dan masuk ke fasa menerima takdir yang telah tertulis. Kata orang, dua tahun perkahwinan ini fasa berbulan madu. Tetapi tidak bagi aku. Orang lain ada pengalaman ‘malam pertama’ tetapi aku tak pernah alaminya.

“Aku masih dara sepanjang setahun perkahwinan. Suami aku pula langsung tak nak bersama. Kami berdua hanya sekadar ‘bermesra’ sahaja. Hampir setahun macam ini walaupun aku sudah bersedia. Pada masa yang sama, orang sekeliling sudah mula bertanya mengenai ‘isi’. Tetapi bagaimana aku nak berisi kalau benihnya pula tiada.

“Aku hanya mampu tersenyum dan berkata belum ada rezeki. Dahulu aku dan suami bercinta agak lama. Jadi mungkin ini juga balasan di atas dosa-dosa kami sepanjang perhubungan yang tidak halal. Mungkin sekarang ini pandangan suami terhadap aku tak seperti ketika zaman bercinta dahulu. Mungkin Allah sudah menarik nikmat itu.

“Tak tahulah jika syaitan yang sedang sedaya upaya melakukan kerja dia. Kalau kata suami suka pasangan sejenis, aku tak rasa dia ke arah itu. Dia bukan jenis kaki lepak luar. Kadang-kadang aku yang lepak luar sebab bosan di duduk rumah, tengok dia main permainan video ataupun game. Dengan kawan dalam itu terjerit terlolong.

“Kadang-kadang aku berbunyi juga sebab memekak sangat. Suami ini memang kaki ‘game’. Kalau boleh, nak hadap sampailah ke subuh. Aku dibiarkan tidur seorang diri. Sampai tahap aku rasa, selepas kahwin lebih sunyi hidup berbanding zaman bujang. Satu lagi, kalau bab anak dan mengandung kenapa asyik tanya perempuan sahaja?

“Cubalah sekali sekala itu, tanya kepada para suami pulak. Aku takkan mengandung kalau kerja suami hanya menghadap game sahaja. Ikutkan hati, nak juga aku jawab dekat orang yang sibuk tanya ini. Tetapi banyak hati yang perlu dijaga. Cukuplah aku buat luahan di sini sahaja. Orang juga tak mengenali siapa aku dan siapa suami.

“Sekarang ini aku sedang cuba untuk berdamai dengan takdir. Mungkinlah takdir aku sudah tertulis begini. Mungkin aku memang ditakdirkan untuk dapat suami macam ini dan tiada zuriat sendiri. Entahlah, aku sudah penat fikir. Kadang-kadang aku sayulah tengok kawan-kawan atau sepupu yang seumur sudah ada keluarga kecil sendiri.

“Sedangkan aku ini tiada perkara yang boleh dibanggakan. Setakat memiliki suami tetapi kaki game. Aku sudah puas bermasam muka. Sudah tegur tetapi langsung tak jalan. Perangainya sama sahaja. Kepada adik-adik yang sedang seronok bercinta itu, jagalah batas di antara lelaki dan perempuan. Jangan sampai rasa manisnya hilang.

“Kepada mereka yang bercita-cita nak berkahwin dengan suami kaki game pula kena kentalkan jiwa. Kalau tak kental, lupakan sahaja keinginan anda itu. Sebabnya sudah berkahwin nanti, kamu akan makan hati seorang diri. Sekian. Kongsi Tasha (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran dimuat naik di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Lepas isteri aku hilang barulah aku sedar betapa pentingnya dia dalam hidup, selama ni aku abaikan dia”