Curi kabel TNB, 4 suspek jadi sasaran polis

Oleh MALAYSIADATELINE

Walaupun peluang pekerjaan lain masih wujud, masih ada pihak tergamak mencari jalan pintas dengan mencuri kabel yang boleh menyebabkan kerugian dan membahayakan keselamatan orang ramai.

Polis kini giat memburu empat lelaki yang disyaki terlibat dalam cubaan mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran Pangsapuri D’Kayangan Setia Ecohill, Semenyih, semalam.

Kejadian berlaku sekitar 6.54 pagi apabila penduduk setempat menyedari kehadiran suspek dan segera menegur mereka, sekali gus menggagalkan rancangan jenayah itu.

Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, Ketua Polis Daerah Kajang, berkata laporan mengenai insiden tersebut diterima pihaknya pada hari yang sama.

Hasil siasatan awal menunjukkan kesemua suspek menggunakan sebuah kenderaan berwarna kelabu semasa melakukan perbuatan itu lapor Harian Metro..

“Suspek dilihat sedang memotong kabel yang disyaki milik TNB di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, kumpulan lelaki terbabit bertindak melarikan diri sejurus ditegur oleh penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan.

Tegasnya, susulan laporan diterima, pihak polis kini mempercepat usaha mengesan setiap individu yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan khianat dengan memotong kabel.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Nadzul Majdi Abu Seman di talian 017-4661 757 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Baca juga: Majikan baik hati, bibik dapat RM1,000 angpau tahun baru Cina