Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa menerima pesanan martabak dalam keadaan berbau masam ketika membelinya di sebuah gerai berhampiran Stadium Selayang.
Menerusi perkongsian di media sosial, wanita berkenaan yang menggunakan nama Nurulaqeella mendakwa suaminya beratur dalam tempoh yang lama untuk membeli dua keping martabak dengan harga RM20.
“Memang ‘setan’ tau penjual martabak dekat stadium Selayang, suami aku beratur lama nak beli martabak kau.
“Akhirnya dapat macam ini, dengan bau masamnya. Dua keping pula tu beli, RM20!” luahnya di Threads.
Dalam video dikongsikan wanita tersebut memaklumkan isinya bukan daging tetapi kobis dengan kulit luar berminyak, mentah dan masih bertepung serta tidak masak.
Menurutnya, keadaan tersebut hanya disedari selepas pesanan dibungkus, dan ketika itu suaminya tidak sempat memeriksa isi bungkusan berkenaan.
“Ya Allah dari pukul 11 pagi teringin nak makan martabak, jahatlah,” luahnya.
Wanita berkenaan turut mendakwa terpaksa membuang makanan tersebut kerana tidak dapat memakannya.
Dalam masa sama wanita berkenaan memaklumkan sudah membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab.
“Saya dah buat aduan, tak minta ganti rugi pun. Kalau peniaga tu nak pulangkan duit, saya suruh dia sedekah kat masjid.
“Kalau dia nak bagi martabak percuma saya tak nak ambil. cukup lah sebagai pengajaran,” kongsinya di ruangan komen.
Dalam hantaran berkenaan ramai juga berkongsi pengalaman makanan yang dibeli di bazar didakwan seperti lebihan makanan semalam.
“Saya semalam anak nak rangka ayam masa berbuka dia kata tak sedaplah. Bila cium bau masam, tengkuk ayam tu hitam. Itu hari pertama, agaknya lebihan pasar malam. Tergamak buat pelanggan macam tu.
“Beli nasi kerabu, nasi lembik, pastu solok lada dia macam dah basi, rasa nak lempar je nasi kerabu tu kat muka dia.
“Tahun lepas dah terkena tapi dapat yang keras kejung, tahun ni memang trauma, beli satu benda sahaja yang nak,” antara komen netizen.
Baca juga: Sayu dengar anak OKU di pusat kebajikan tak sabar sambut puasa, boleh makan sedap-sedap