Dari Jakarta kepada Nusantara

Oleh ARIF ATAN

Nusantara dipilih menjadi nama ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

Menteri Perancangan Pembangunan Indonesia, Suharso Monoarfa mengumumkan nama baharu itu dalam rapat Panitia Khusus Rancangan Undang-Undang Ibu Kota Negara (RUU IKN) dengan pemerintah di Kompleks Parlimen, Jakarta hari ini.

Beliau berkata, nama baharu itu dipilih dan disahkan oleh Presiden Joko Widodo (Jokowi).

“Saya baru terima pengesahan dan arahan daripada Presiden Jokowi untuk menamakan ibu negara baharu Indonesia sebagai Nusantara.

“Pilihan itu dibuat kerana Nusantara sudah diketahui sejak dari dulu lagi, selain menjadi ikon antarabangsa dan menggambarkan kenusantaraan kita semua, Republik Indonesia,” dipetik Kompas.

Pada 2019, Jokowi mengumumkan ibu negara Indonesia iaitu Jakarta akan dipindahkan ke Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara di Kalimantan Timur.

Keputusan itu dibuat berikutan keadaan yang semakin sesak di Jakarta, selain beberapa wilayah bandar raya itu diramalkan akan tenggelam pada 2050 impak kenaikan paras laut akibat pemanasan global.

Sebelum ini, Climate Central mendakwa, wilayah Jakarta yang diramal akan tenggelam meliputi Jakarta Barat, Jakarta Utara, Jakarta Pusat dan Jakarta Timur selain wilayah utara Bekasi, Jawa Barat.