Darurat jawatan, apakah Pas sudah sedia kerjasama dengan DAP?

Oleh BORHAN AHMAD

Dengan sepantas kilat reaksi tidak sampai 24 jam kesemua pembangkang menolak tawaran Tan Sri Mahiaddin Md Yassin untuk bekerjasama dengan kerajaan yang menjadikan 120 ahli Parlimen menolak dan terus mendesak beliau meletakkan jawatan segera.

Daripada bacaan berita yang terakhir membuat pendirian itu adalah Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang membuat keputusan lewat malam tadi. (Malaysia Dateline, 14 Ogos 2021)

Menurut Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid, “Umno tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya.”

Apa yang berlaku sekarang seolah-olah sama wacananya ketika era pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa waktu pilihan raya ke-13 yang temanya “Najib must go” dan sekarang “Mahiaddin must go” walaupun isu berbeza.

Ini kerana mereka sudah mengetahui bagaikan sinar mentari sama ada yang tersurat dan tersirat, perucapan khas Perdana Menteri memberikan maksud bahawa beliau masih dan ingin mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia. Nampaknya Mahiaddin sudah tidak boleh menaruh harapan kepada Umno lagi.

Walau rundingan apa pun yang ingin disarankan dengan pembangkang apa yang dalam Bahasa Inggeris cakap “bottom line” PM ialah Muhyidddin Yassin. Ideanya seolah-olah sama dengan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad, pembentukan kerajaan perpaduan, kerajaan rentas parti.

Mahiaddin sedang menghulurkan talian hayat. Apakah beliau sekarang mengangkat bendera putih? Cadangan Mahiaddin ini seolah-olah mewujudkan negara tanpa pembangkang pula. Ini komen-komen dalam mesej media sosial.

Adakah idea ini datangnya daripada penasihat baharu PM? Dalam hubungan ini Pas tentu sudah merestui dengan cadangan Muhyiddin ini. Oleh itu mereka sudah boleh menerima ahli parlimen DAP ke dalam pembentukan kerajaan rentas parti.

Oleh itu pembentangan cadangan rangka persefahaman rentas parti ialah usul undi percaya di Parlimen. Nampaknya PM memang memerlukan sokongan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Mahiaddin akur bahawa beliau tidak mempunyai majorti di Parlimen bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri setelah ahli-ahli parlimen Umno menarik diri menyokong beliau.

Oleh ini beliau memerlukan sokongan ahli parlimen pembangkang bagi meneruskan hayatnya sebagai Perdana Menteri kerana beliau sedang berhadapan dengan krisis darurat jawatan.

Namun apakah pelan B Mahiaddin?

Biasanya sebarang percaturan mesti ada “backup plan”, pemikiran strategis ialah jika kerajaan membentang sesuatu rancangan, mereka sudah memikirkan reaksinya: jika reaksi positif ia berjalan mengikut skrip dan jika pembangkang menolak apakah pelan B dan C. Ada masanya mereka sudah membuat simulasi jika hadapi masalah apakah jalan keluar untuk terus berkuasa.

Atau adakah Kerajaan PN sudah ketiadaan formula untuk kekalkan berkuasa sehingga menawarkan pelbagai insentif kepada pembangkang dan tawaran lumayan kepada ketua pembangkang.

Adakah sasaran Mahiaddin ialah sokongan ahli parlimen pembangkang secara individu kerana beliau perlukan sokongan mantap sebanyak 20 Ahli Parlimen pembangkang dari PKR, AMANAH atau Dap bagi meneruskan kerajaan ini sehingga masa yang sesuai diadakan pilihan raya umum.

Ini yang akan kita lihat nanti.

Jika tidak yakin masakan beliau membuat perutusan khas? Walau PH menolak kita tidak tahu daripada sudut individu seseorang Ahli Parlimen pula?

Kemelut besar ialah sejak Langkah Sheraton ialah negara ketiadaan politik konkrit. Negara tidak boleh berhadapan dengan sebuah kerajaan yang lebih banyak menyembunyikan perkara daripada menyingkap. Lebih banyak membuat rakyat gusar dan menderita daripada rasa aman dan harapan.

Situasi lebih buruk apabila sesebuah kerajaan berada dalam lubuk darurat jawatan.
—————-
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Viual dan Pengkompueran di Universiti Selangor (Unisel).