Diabaikan majikan selepas tiba di Malaysia, lebih 700 pekerja Bangla berjaya menang kes tuntut RM1 juta 

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah syarikat yang memperdaya lebih 700 pekerja warga Bangladesh dengan tawaran pekerjaan palsu di negeri Johor, bersetuju untuk membayar hampir RM1 juta (AS$300,000) bagi melunaskan separuh daripada gaji mereka yang telah tertunggak sejak Oktober 2023.

Penganiayaan dihadapi kumpulan pekerja berkenaan hanya diketahui umum pada pertengahan Disember, selepas 171 daripada mereka mengambil tindakan berjalan kaki menuju ke sebuah balai polis di Pengerang untuk membuat laporan polis kerana tidak diberikan sebarang pekerjaan selepas beberapa bulan dibawa masuk ke Malaysia.

Syarikat berkenaan akan membayar 50 peratus gaji (yang tertunggak) sejak 7 Oktober 2023.

“Dengan itu, kedua-dua pihak (majikan dan pekerja) telah bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian dengan bayaran sebanyak 50 peratus daripada tuntutan gaji, membabitkan sejumlah RM1.035 juta kepada 733 orang pengadu,” kata Mahkamah Buruh Johor Bahru baru-baru ini.

Selain membayar tunggakan gaji, mahkamah menyatakan bahawa syarikat terbabit telah memberikan komitmen untuk mendapatkan pekerjaan bagi kesemua mangsa selewat-lewatnya pada 10 Feb depan.

Selain itu, ia juga telah diarahkan supaya memindahkan kesemua pekerja berkenaan ke lokasi penempatan baru bagi mengatasi masalah penginapan teruk yang dihadapi mereka.

Baca Artikel Penuh