Pelakon, Diana Danielle hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini untuk memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil pada jam 9 pagi tadi.
Nekad meneruskan penceraian selepas setahun kembali rujuk, Diana yang memakai jubah dan tudung hitam itu hadir ke mahkamah bersama peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Akberdin selaku peguam yang mewakili Diana berkata, pelakon itu meneruskan penceraian kerana tiada lagi persefahaman dengan Farid dan permohonan tersebut difailkan hari ini untuk mendapatkan tarikh sebutan kes.
Diana semalam mencuri perhatian ramai selepas memuat naik satu rakaman menerusi akaun Instagram miliknya memaparkan sepucuk surat dipercayai ditulis oleh Farid Kamil yang dibakarnya.
Berdasarkan hantaran di Instagram Story itu, pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson menyifatkan bahawa surat yang dianggap penipuan tersebut sudah tidak mempunyai tempat di hatinya lagi.
Difahamkan, hantaran itu dibuat susulan Farid berkongsi kembali surat cinta yang pernah ditulisnya untuk Diana di hari pernikahan mereka 12 tahun lalu yang jatuh pada Ahad iaitu 3 November.
Menerusi perkongsian lain, pelakon berusia 32 tahun itu turut berkongsi pandangan bahawa Farid adalah lelaki yang kejam sekiranya dia berniat untuk memanjangkan proses perceraian mereka.
“Jika mahu panjangkan proses perceraian, maka dia seorang yang kejam. Saya sudah menghabiskan masa selama setahun cuba memperbaiki dan pulihkan keadaan.
“Sudah banyak kali kami berhadapan dengan ambang keretakan (perkahwinan). Jika mahu ikat sehingga saya terseksa sampai ke proses hakam, dia adalah kejam. Saya tidak mahu dipujuk.
“Tidak mahu lagi teruskan perkahwinan ini. Niat saya cukup jelas. Tiada lagi yang saya mahukan, selain tidak berada di bawah tanggungjawabnya,” tulisnya dalam hantaran itu.
Pada 28 Oktober lalu, Diana mengejutkan ramai pihak selepas memuat naik satu hantaran di akaun Instagram miliknya bagi mengumumkan keputusannya untuk berpisah dengan Farid Kamil.
Diana di dalam hantaran itu memberitahu dirinya sudah nekad untuk memfailkan perceraian terhadap suaminya buat kali kedua selain mengatakan janji yang sebelum ini ditabur oleh lelaki terbabit tidak tertunai.
Pelakon berusia 32 tahun terbabit sebelum ini sudah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari terhadap suaminya pada 10 Mac lalu dengan alasan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Farid dan Diana kemudian sah bercerai talak satu dalam prosiding yang dilakukan secara atas talian menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun pasangan itu kembali rujuk tidak lama kemudian.
Sekadar info, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia sembilan tahun.
Baca juga: ‘Rate’ Aliff Syukri dah macam artis profesional, harga untuk undang menyanyi serendah RM15k