Dilabel murahan sebab kerja hujung minggu, ini respon Cik Piah

Oleh MAISARAH AISYA

Banyak ibu bapa terpaksa mengorbankan masa hujung minggu mereka demi keluarga, bekerja tanpa henti untuk memastikan anak-anak dan rumah tangga dapat dibina dengan selesa.

Namun ada pula yang lebih terasa sehingga melabelkan seseorang dengan perkara negatif hanya kerana tidak berpuas hati.

Dalam hantaran di Instagram, penyampai radio Feeya Iskandar atau Cik Piah memuat naik satu mesej yang mengelarnya ‘murahan’ hanya kerana dia bekerja pada hujung minggu.

“Cik Piah ni nampak murahan sangat, hujung minggu pun kerja, bukan kata nak luang masa dengan keluarga,” antara mesej diterima yang dimuat naik Cik Piah di Instagram.

Tegasnya tidak semua pengorbanan seseorang perlu difahami atau dinilai oleh orang lain, terutamanya mereka yang sibuk mengejar rezeki.

“Tak semua pengorbanan perlu difahami orang. Tak semua yang kejar rezeki itu lupa keluarga.

“Jangan meremehkan pengorbanan orang lain, yang faham akan faham.Yang menilai, teruskan,” kongsinya.

Baginya dia tidak pernag mengabaikan tanggungjawabnya malah sempat berseloroh jika penghantar mesej tersebut mahu mengetahui jumlah duit dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya.

“Sebagai anak, isteri dan seorang ibu, saya tak pernah lupa jalankan tanggungjawab saya.

“Awak nak tahu tak KWSP saya dekat Suria FM dah berapa,” tambahnya.

Rata-rata pengguna Instagram memintanya mengabaikan mesej tersebut kerana masih ada ramai menyokong dirinya.

“Pedulikan apa orang nak kata sebab hanya kita sahaja yang tahu apa yang patut kita buat. Kita tak boleh nak puaskan hati semua orang. Buat apa yang boleh buat cik Piah gembira. Cik Piah, jangan nangis tau,” komen Aishah.

“Waaa… wujud ye orang macam ni. Kau ingat orang-orang yang bekerja ini tak ada perasaan ke? Kau ingat kami tak menangis dalam diam?

“Semua hamba Allah nak buat yang terbaik, tapi kalau perjalanan kita jenis orang sibuk, nak tak nak semua tu memang kena hadap. Bukan soal suami mampu atau tidak, dah nama amanah tetap kena buat,” komen Nadia.

Baca juga: Menteri Agama beri respon susulan wujud perkhidmatan ‘coach cerai’