Jika diperhatikan ada sahaja kontroversi melanda artis baharu dan kebanyakan menjadikan isu tersebut sebagai tiket untuk kekal relevan dalam industri.
Namun tak semua anak seni memilih jalan tersebut, malah ramai yang sanggup jika namanya semakin pudar agar dapat menjaga maruah diri.
Dalam perkongsian di Threads, pengacara dan pelakon Adriana Adnan mengakui ada orang dalam industri memintanya mencipta kontroversi namun ditolaknya.
“Ya betul, ada orang industri seni sampai suruh saya cipta kontroversi untuk kekal relevan. Mereka cakap saya terlalu ‘bersih’, tidak layak diberitakan.
“Sebab industri kita akan pilih orang yang selalu keluar berita, tular dan penglibatan media sosial yang tinggi.
“Tapi untuk saya, maruah diri dan keluarga lebih penting, saya tak akan korbankan itu,” kongsinya di Threads.
Perkata tersebut dipersetujui pengacara Uyaina Arshad yang memaklumkan dia turut diminta pergi ke kelab sewaktu dirinya baru menceburi industri seni untuk mencetus kontroversi.
“Masa saya mula-mula masuk industri, saya pun disuruh benda yang sama tapi saya punya mungkin lagi teruk.
“Dia suruh saya pergi kelab, pegang arak dan ambil gambar kemudian sebarkan gambar tu hanya untuk cipta kontroversi.
“Nasib baik saya tak bodoh, tak apa Adriana, setiap orang ada ruang untuk belajar dalam rentak sendiri. Kita hanya buat yang terbaik dan selebihnya rezeki Tuhan,” kongsinya.