Dr Say sebak ambil kad OKU anak, terima hakikat anak berbeza daripada orang lain

Oleh MAISARAH AISYA

Ibu bapa pastinya mahukan yang terbaik buat anak masing-masing, apatah lagi anak yang lahirnya lebih istimewa.

Doktor selebriti, Dr Say Shazril berkongsi di Instagram mengenai perasannya ketika mengambil kad OKU di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sepang.

Pastinya sebak melihat nama dan wajah anak pada kad tersebut, hingga Dr Say sendiri mengalirkan air mata taktala melihatnya kad buat Ace atau namanya Aezriel.

“Dalam kereta saya amati elok-elok kad OKU tu. Besar tulisan KAD OKU. Ada nama penuh Ace, ada kategori ketidakupayaannya. Berjurai air mata saya, saya tak tau sebab apa,” tambahnya.

Pada masa sama dia memaklumkan dia tidak malu akan kad tersebut malah kad itulah yang akan membantu anaknya satu hari nanti.

“Nak kata saya malu pegang kad OKU ni sikit pun tak, sebab saya tahu kad inilah yang boleh menjadi bantuan terunggul kepada Ace sekiranya saya atau isteri tiba-tiba tiada di dunia ni.

“Nak kata saya sedih anak saya OKU juga tak sebab OKU tidak semestinya dia tak boleh enjoy hidup di dunia ini seperti kanak-kanak yang lain.

“Saya serius tak tahu kenapa saya sayu tapi saya mengambil masa yang agak lama untuk menerima bahawa anak saya kini ‘SECARA RASMI’ berbeza daripada orang lain,” katanya.

Dr Say turut berkongsi mengenai keistimewaan kad tersebut. Antaranya pengecualian bayaran MyKad, pengecualian bayaran rawatan perubatan.

Sekiranya penjaga anak OKU meninggal, kad OKU lah yang akan menjadi hak yang sepatutnya anak istimewa dapat.

Banyak sebenarnya kelebihan dan keistimewaan pemegang kad OKU, jadi jangan malu untuk mendaftar anak istimewa anda.

Baca juga: Warga emas terdampar di tepi jalan, dipercayai mati kerana strok haba