Wanita berstatus janda dari Perak memberi alasan mahu menguruskan perkahwinan dengan seorang duda ketika ditangkap khalwat di rumah sewa milik lelaki berkenaan di Johor Bahru, awal pagi semalam.
Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) memaklumkan bahawa pasangan itu ditahan selepas serbuan dijalankan di rumah tersebut pada jam 1.30 pagi.
Difahamkan, serbuan dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa JAINJ selepas menerima maklumat awam tentang pasangan bukan mahram terbabit yang dipercayai sudah bersekedudukan hampir sebulan lalu.
Pintu rumah kampung itu kemudian diketuk sebelum dibuka seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an yang memakai kemeja-T dan berseluar pendek manakala kediaman pula didapati berada dalam keadaan gelap.
“Pemeriksaan lanjut oleh penguat kuasa wanita menemui seorang perempuan berseluar pendek di atas katil yang hanya memakai baju dalam. Siasatan mendapati lelaki itu berstatus duda namun tidak memiliki anak.
“Manakala wanita berumur dalam lingkungan 30-an itu pula berstatus janda yang juga tiada anak. Lelaki itu lebih muda 9 tahun dari wanita. Ini adalah rumah sewa milik lelaki itu yang didatangi oleh wanita terbabit.
“Pakaian dan beg wanita dijumpai dalam almari. Apabila ditanya apa hubungan mereka, lelaki itu tak beri jawaban dan hanya minta tolong jangan ditangkap. Wanita itu pula kata lelaki terbabit bakal suaminya,” kata kenyataan itu.
Wanita itu dikatakan sanggup datang dari Perak ke Johor Bahru semata-mata mahu menguruskan perkahwinan dengan lelaki berstatus duda yang dikenalinya menerusi platform sosial media.
Namun selepas tiba di daerah tersebut, lelaki itu memberi pelbagai alasan untuk segera menghalalkan hubungan mereka termasuklah konon sukar mendapatkan surat cerai daripada pejabat agama.
“Perkara ini menyebabkan wanita terbabit terkandas dan menunggu lebih sebulan dengan menumpang di rumah tersebut. Pasangan ini ditahan atas kesalahan khalwat mengikut Seksyen 27 sebelum dibawa ke balai polis.
“Sebenarnya tiada masalah untuk lelaki itu mendapatkan surat cerai, kalau benar dia sudah berpisah. Cuma lelaki itu yang tak uruskan tetapi beri alasan pejabat pula sukar keluarkan dokumen tersebut.” Kongsi kenyataan itu lagi.
Sekiranya didapati bersalah mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997, pasangan itu boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Baca juga: MAIS dedah ada pendakwah mengajar di luar kepakaran, bawa fahaman bercanggah Ahli Sunnah