Amalan sihir menyihir di kalangan peniaga kedai makan bukanlah perkara baharu, namun ia tetap mengejutkan apabila masih berlaku dalam masyarakat moden hari ini.
Sihir digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, lazimnya didorong oleh hasad dengki terhadap kejayaan orang lain, dengan niat untuk menjatuhkan perniagaan saingan.
Pernah buka kedai di hujung tahun 2022, penyampai radio Kieran mengakui terkilan apabila perniagaannya terpaksa ditutup akibat sihir.
Jelasnya makanan di kedai KopeeTeelo selalunya habis sebaik jam 10 pagi, malah pernah menahan malu kerana semuanya habis terjual lapor Harian Metro.
“Seronok…waktu awal buka, kedai sentiasa penuh dengan pelanggan. Hari biasa pun penuh, apatah lagi hujung minggu hingga makanan pun tak cukup.
“Lepas itu tiba-tiba perlahan-lahan jualan makin merosot dan dah ada orang kata kedai saya sentiasa tutup. Ada kawan-kawan tanya kenapa tutup kedai dan ingat saya buat pengubahsuaian.
“Saya cakap mana ada sebab saya memang sentiasa buka kecuali cuti hari Selasa. Setiap orang cakap benda yang sama. Lepas itu saya tengok jualan peniaga-peniaga dalam kedai pun semuanya merosot.
“Biasanya boleh dapat, contohnya nasi lemak kalau hujung minggu boleh dapat 900 bungkus ke, tiba-tiba dah jadi 200-300 ke jatuh daripada kurang 70 peratus. Nampak sangatlah sesuatu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Kieran turut berkongsi usaha ikhtiar terakhirnya sebelum membuat keputusan menutup kedai.
“Jadi lama-lama saya terpaksa menambah duit setiap bulan, jadi tak seronoklah. Lepas berfikir dan berbual dengan isteri lama-kelamaan benda ini teruk juga. Kita kerja cari duit tempat lain tapi nak ‘top up’ sini pula.
“Akhirnya September 2023 saya buat keputusan untuk tutup. Sebenarnya sebelum itu bila orang cakap nampak kedai asyik tutup, saya ikhtiar juga berdiri depan kedai untuk pastikan orang nampak saya atau tak.
“Jalan itu memang sibuk dan jem. Ada satu hari, saya berdiri hampir 30 minit tepi jalan dengan pakaian lengkap nama kedai. Tiada seorang pun pandang saya, lambai atau hon sedangkan kereta banyak dan orang kenal saya,” katanya.
Perniagaan yang awalnya gah tiba-tiba merudum menguatkan lagi firasatnya bahawa ada gangguan atau unsur khianat dibuat ke atas kedainya.
“Saya buka kedai ini dengan hasrat kononnya nak jadikan ia stabil dan wujudkan satu jenama di situ dan dengan harapan dapat buka cawangan lain dengan menu lain dari yang lain.
“Itu juga sumber pendapatan saya dan boleh diwariskan kepada isteri dan anak-anak sekiranya saya sudah tiada. Biarlah mereka buat sesuatu atas nama saya. Itu niat asal saya buka kedai.
“Tapi Allah tak izikan dan Allah ada perancangan lain mungkin, jadi tak sampailah hasrat saya.
“Nama KopiTeloo masih wujud, mungkin saya buka semula nanti, kita tak tahu. Itu ketentuan Allah,” katanya.
Baca juga: Cucu Tun M rugi cecah RM1.8 juta akibat rumah dipecah masuk, barang kemas dilarikan