Ekonomi global makin mencabar, PMX mahu Malaysia lebih bersedia hadapi risiko

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia perlu menilai semula keutamaan ekonomi negara susulan cabaran ekonomi global yang semakin meruncing, selain dipengaruhi ketegangan geopolitik dunia yang kian tidak menentu.

Menurut beliau, keadaan semasa menuntut kerajaan untuk lebih bersedia dalam mengurus risiko ekonomi.

Ini termasuk mengambil pendekatan lebih strategik bagi memastikan kestabilan negara dapat dikekalkan dalam jangka pendek dan panjang.

Perkara itu disampaikan ketika beliau berucap dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 11 yang membawa tema Kesatuan Ummah dalam Menghadapi Krisis Geopolitik.

“Saya menegaskan bahawa meskipun sebahagian tekanan ekonomi berada di luar kawalan kita, kerajaan harus kekal tangkas, responsif dan berpandangan jauh dalam mengurus risiko jangka pendek, di samping merencana hala tuju yang mampan untuk jangka panjang.

“Kerajaan pada masa ini masih berupaya mengekang kenaikan harga bahan api domestik, dengan RON95 kekal antara yang terendah di dunia.

“Namun demikian, kita harus akui bahawa langkah ini menuntut komitmen fiskal yang besar dan perlu dinilai secara berhemah demi kelangsungan jangka sederhana dan panjang,” katanya dalam hantaran di sosial media.

Dalam masa sama, Anwar menekankan keperluan memperkukuh keupayaan negara dalam meramal dan mendepani risiko ekonomi melalui pengurusan yang lebih tersusun serta berfokus.

Beliau turut menyentuh mengenai situasi geopolitik dunia, dengan menegaskan bahawa perpaduan umat Islam bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan mendesak dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Kekuatan kita terletak pada kesatuan yang berteraskan prinsip, keadilan dan nilai kemanusiaan sejagat,” katanya.

Menurut beliau, setiap dasar dan langkah yang diambil perlu menjurus kepada usaha menentang penindasan serta mempertahankan hak golongan yang dizalimi, khususnya rakyat di Palestine.

Baca juga: Warga emas disah hidap buah pinggang tahap 5, terpedaya minuman dibeli di TikTok?