Elon Musk buat kejutan, jadikan anjing sendiri CEO Syarikat Twitter

Oleh WAN SITI AMINAH

Ahli perniagaan sensasi, Elon Musk sekali lagi menyita perhatian apabila melantik anjingnya sendiri menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Sejak mengambil alih syarikat media sosial Twitter, Musk sering membuat langkah perniagaan yang menimbulkan kontroversi.

Terbaharu, Musk telah menggegarkan industri perniagaan apabila mengumumkan bahawa jawatannya telah digantikan.

Musk mengesahkan anjing peliharaannya, Floki merupakan CEO Twitter dalam satu sesi temu bual yang diadakan pada Selasa lalu (11 April).

Dalam sesi yang dijalankan menerusi Twitter Spaces itu, Musk beberapa kali membetulkan wartawan BBC, James Clayton yang memanggilnya CEO Twitter.

“Saya bukan CEO Twitter. Anjing saya ialah CEO Twitter. Ia anjing yang hebat dan sangat berwaspada,” tegas Musk.

Ketika ditanya Clayton siapakah penggantinya sebagai CEO, Musk sekali lagi menegaskan bahawa Floki telahpun mendapat jawatan itu.

Pada Februari lalu, Musk memuat naik gambar anjing baka Shiba Inu miliknya dengan kapsyen ‘CEO baru Twitter sangat mengagumkan’.

Ciapan tersebut tular di media sosial, namun ramai pengguna Twitter yang tidak mengambil serius dan menganggapnya sebagai gurauan.

Baca juga: Baju polis warna biru, askar hijau, jururawat putih, kenapa ya?