Enggan lafaz cerai, ‘Tanyalah Diana, apa masalah dia’ – Farid Kamil

Oleh WAN SITI AMINAH

Dunia hiburan tanah air hari ini digemparkan dengan berita pelakon, Diana Danielle yang memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Farid Kamil.

Tiada angin tiada ribut, permohonan itu rupanya telah difailkan Diana sejak awal bulan lalu dengan alasan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Tiada lagi persefahaman, pasangan pelakon yang mempunyai dua orang anak itu diduga sudah lama tidak tinggal sebumbung.

Sesi sebutan permohonan cerai itu berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah daerah Petaling di Subang Bestari, pagi tadi.

Pemilik nama Farid Kamil Zahari itu bagaimanapun enggan melafazkan cerai terhadap isterinya ketika permohonan itu dibacakan.

“Saya ingin selamatkan keluarga menerusi jalan perdamaian di mahkamah. Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah.

“Sebenarnya, tiada apapun yang berlaku. Sebagai suami, saya tiada masalah. Tanyalah Diana, apa masalah dia,” kata Farid.

Hakim Syarie, Shukran Yusof kemudian memerintahkan pasangan pelakon itu untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Tidak mencapai sebarang kata putus, permohonan itu akan ditetapkan semula untuk sebutan pada 28 Mac ini.

Pelakon filem Lagenda Budak Setan itu melangsungkan perkahwinan dengan penuh meriah bersama Diana pada tahun 2012 yang lalu.

Hasil perkongsian hidup selama sedekad, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Muhammad dan Nur Aurora.

Baca juga: Baru siap MRT 2, dah ada motor parkir di laluan pejalan kaki