Exco Perak adakan pertemuan dengan PM Anwar, maklum perkembangan 3 gajah Malaysia di Jepun

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching mengadakan pertemuan hari ini dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahimm.

Difahamkan, pertemuan dibuat bertujuan untuk membentangkan perkembangan terkini berkaitan dengan isu pemindahan tiga ekor gajah dari Zoo Taiping Safari, Perak ke Zoo Tennoji di Jepun.

Menerusi kenyataan dikongsikan di platform Facebook, Sandrea memaklumkan bahawa mereka membincangkan beberapa perkara utama dalam pertemuan itu termasuk isu kebajikan gajah tersebut iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK).

Perkara lain yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah berkaitan dengan kepentingan menjaga hubungan diplomatik dan menghormati komitmen serta perjanjian yang telah dimeterai.

“Keprihatinan masyarakat terhadap isu ini amat dihargai, dan dalam masa yang sama adalah penting untuk kita melihatnya secara menyeluruh, berasaskan fakta serta perkembangan semasa.

“Penekanan turut diberikan agar semua pihak berkaitan mengambil pendekatan yang cermat dalam setiap tindakan, dengan keutamaan diberikan kepada kebajikan haiwan serta pemantauan berterusan.

“Bagi memastikan keadaan mereka sentiasa berada pada tahap yang baik. Perkembangan lanjut akan dikongsikan dari semasa ke semasa oleh pihak yang berwajib,” katanya dalam kenyataan itu.

Terdahulu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan bahawa pihaknya tidak terlibat dalam perjanjian pemindahan haiwan yang dibuat secara langsung antara Zoo Taiping & Night Safari (ZTNS) dan Tennoji Zoo Osaka (ZTO).

Sehubungan dengan itu, pihak ZTNS digesa untuk segera memulakan rundingan dengan ZTO untuk menilai mekanisme agar boleh membawa pulang tiga gajah Asia tersebut.

Perjanjian tersebut didakwa dibuat melalui kaedah perniagaan dengan perniagaan (B2B) oleh pentadbiran terdahulu.

Baca juga: Akhirnya berdamai! Izreen Azminda & Intan Salleh tamatkan konflik lama