Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan.
Pertuduhan berkenann melibatkan penyalahgunaan kuasa membabitkan pelantikan ahli keluarga dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) beberapa tahun lalu.
Tertuduh berusia 66 tahun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha lapor Kosmo! Online.
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Hanafiah didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Pengerusi Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) untuk suapan bagi mendapatkan jawatan untuk anak lelakinya, Mohd Najmi, di sebuah syarikat GLC.
Kesalahan itu didakwa berlaku di pejabat Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, Pangkalan Bekalan Kemaman, Teluk Kalong, Kemaman pada 15 Ogos 2018.
Bagi pertuduhan kedua, Hanifiah didakwa melakukan perbuatan serupa dengan mengarahkan pelantikan seorang lagi anak lelakinya, Ahmad Kamil, di lokasi sama pada 18 Jun 2020.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Baca juga: Ringgit pada paras tertinggi dalam tempoh 8 tahun