Bekas guru dan aktivis, Mohd Fadli Salleh menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan seorang guru bukan Islam terpaksa mengajar subjek Pendidikan Islam seperti yang tular di media sosial.
Dalam hantaran di Facebook, Fadli menganggap tuduhan tersebut adalah serius dan perlu disahkan kerana ia melibatkan peraturan asas dalam sistem pendidikan negara.
“Berat tuduhan ini. Kementerian Pendidikan Malaysia kena periksa dan siasat dakwaan ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Mohd Fadli yang mempunyai pengalaman 18 tahun sebagai guru menjelaskan bahawa subjek Pendidikan Islam mempunyai syarat ketat.
Malah subjek berkenaan tidak boleh diajar oleh guru yang tiada pengkhususan dalam bidang tersebut, walaupun guru berkenaan beragama Islam.
“Subjek Pendidikan Islam tidak boleh diajar oleh mana-mana guru yang tiada pengkhususan sama ada major atau minor dalam bidang Pendidikan Islam, meskipun guru itu beragama Islam.
“Itu peraturan KPM sejak dahulu lagi,” jelasnya.
Tambahnya, sekiranya guru Pendidikan Islam tidak hadir, guru ganti hanya dibenarkan mengendalikan kelas dengan mengajar subjek lain.
“Tak ada sijil Pendidikan Islam, tidak boleh ajar subjek Pendidikan Islam. Meski pun guru Pendidikan Islam semua cuti hari tersebut, guru ganti kena ajar subjek lain kalau relief (ganti).
“Mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja ada syarat ini. Kalau subjek lain contohnya English, guru Muzik pun boleh ajar English walau tiada pengkhususan dalam bidang tersebut.
“Tapi tidak dengan Pendidikan Islam,” jelasnya.
Tegasnya, sekiranya dakwaan tersebut benar, Guru Besar sekolah terlibat boleh dikenakan tindakan disiplin.
Namun, Mohd Fadli turut menasihatkan individu yang membuat dakwaan berkenaan supaya menarik semula kenyataan dan memohon maaf sekiranya ia tidak benar.
Terdahulu, satu hantaran di platform Threads mendakwa seorang guru beragama Hindu terpaksa mengajar subjek Pendidikan Islam kerana kekurangan tenaga pengajar, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.
Mohd Fadli berharap pihak KPM dapat menjalankan siasatan terperinci bagi memastikan kebenaran dakwaan tersebut serta menjaga integriti sistem pendidikan negara.
Hantaran asal wanita berkenaan di Threads dipercayai sudah dipadamkan.
Baca juga: Anak mangsa bunuh dedah ibu sudah bayar duit tunang RM7,000, putus sebab kerap gaduh