Fattah Amin seru hentikan ‘cyber bully’, sokong usaha perkasakan internet selamat

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya, ramai selebriti tidak terlepas daripada menjadi sasaran kecaman serta kata-kata kesat yang dilemparkan oleh individu tidak bertanggungjawab, yang berselindung di sebalik akaun palsu di media sosial.

Pelakon Fattah Amin, baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Komunikasi bersama Datuk Fahmi Fadzil bagi menyatakan sokongan terhadap usaha memperkasakan Kempen Internet Selamat.

Menurut hantaran di Instagram, Fattah memaklumkan pertemuan tersebut cukup bermakna buat dirinya dan isteri yang juga penyanyi Amira Othman kerana ia bukan sekadar mewakili mereka berdua.

Malah ia adalah simbol komitmen untuk bersama-sama industri hiburan tanah air, anak seni tempatan serta pempengaruh media sosial dalam meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan dan etika di ruang digital.

“Pertemuan ini amat bermakna buat saya dan isteri, ia bukan sekadar mewakili kami berdua.

“Tetapi juga sebagai tanda komitmen untuk bersama-sama meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keselamatan dan etika di ruang digital,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Kongsi Fattah yang turut berdepan realiti dunia media sosial masa kini percaya sudah tiba masanya semua pihak memainkan peranan dalam menjadikan internet sebagai ruang yang lebih selamat, beradab dan penuh empati.

“Saya percaya sudah tiba masanya kita semua memainkan peranan untuk menjadikan internet sebagai ruang yang lebih selamat, beradab dan penuh empati,” tambahnya.

Dalam pada itu, Fattah turut menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan berusaha menggalas tanggungjawab tersebut sebaik mungkin demi kebaikan masyarakat serta generasi akan datang.

“Internet harus digunakan dengan selamat. Hapus ‘cyber bully’,” tegasnya lagi.

Baca juga: Fazura diam-diam hantar ‘lori’ kepada anak yatim, individu ini dedah sisi dermawan pelakon